SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 mengandungi 98 inisiatif menerusi enam misi dan 25 bidang keutamaan sebagai pelan pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, RS-2 akan menjadi dokumen dasar rasmi kerajaan negeri yang berfungsi sebagai panduan kepada agensi Persekutuan, jabatan dan agensi negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat milik kerajaan negeri serta semua pihak berkepentingan dalam melaksanakan agenda pembangunan Selangor.
Menurutnya, pelaksanaan RS-2 disasarkan untuk menjadikan Selangor negeri pertama di Malaysia yang mencapai nilai ekonomi RM500 bilion."RS-2 juga memperluaskan peluang pekerjaan bergaji tinggi, merapatkan jurang pembangunan antara daerah, memperkukuh sistem pengangkutan awam serta meningkatkan kesejahteraan rakyat menjelang 2030,” katanya ketika membentangkan RS-2 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, RS-2 bukan sekadar sebuah pelan pembangunan lima tahun, tetapi ikrar untuk terus memperbaharui Selangor melalui pelaburan dalam ilmu, penyelidikan, inovasi dan modal insan.
“Pertumbuhan ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada keadilan sosial kerana keadilan adalah strategi pembangunan yang menjadi asas kepada kemakmuran berkekalan,” katanya.
Menrut Amirudin, enam misi utama RS-2 ialah memacu kepimpinan ekonomi Selangor, pembangunan seimbang dan peluang saksama merentasi daerah, negeri penyayang dan berdaya huni, modal insan produktif dan inklusif, negeri lestari, berdaya tahan dan strategik serta kerajaan efektif, mesra rakyat dan perniagaan
Beliau memberitahu, antara sasaran utama menjelang 2030 ialah memperkukuh ekonomi negeri, mewujudkan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi, meningkatkan pendapatan isi rumah, memperluaskan pembinaan rumah mampu milik, mempertingkat penggunaan pengangkutan awam, memperkukuh kesiapsiagaan terhadap perubahan iklim serta mempercepat pendigitalan perkhidmatan kerajaan
Beliau berkata, RS-2 turut mengambil kira cabaran semasa termasuk ketidaktentuan ekonomi global, kesan perang Asia Barat, perubahan iklim, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta keperluan meningkatkan daya tahan ekonomi negeri.
“Dokumen ini menjadi kompas pembangunan Selangor untuk memastikan kemajuan ekonomi berjalan seiring dengan keadilan sosial, tadbir urus yang baik dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.
Beliau berkata, RS-2 dibangunkan berasaskan pengalaman pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menyaksikan 79 peratus daripada keseluruhan inisiatif berjaya dicapai atau berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan, selain sembilan daripada 16 indikator utama melepasi sasaran yang ditetapkan.
Menurutnya, antara pencapaian itu termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri yang konsisten, peningkatan pendapatan median isi rumah, pengurangan kadar kemiskinan relatif, peningkatan Indeks Kebahagiaan, keluasan hutan simpan kekal serta tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan PBT.
Bagaimanapun, Amirudin berkata, kerajaan negeri mengakui masih terdapat beberapa sasaran yang belum dicapai sepenuhnya termasuk aspek kualiti udara, kadar kitar semula, pengurangan kemiskinan mutlak, keberkesanan penyampaian perkhidmatan digital serta pelaksanaan projek pemacu yang memerlukan penambahbaikan.
“RS-2 dirangka dengan pendekatan lebih menyeluruh dan berpandangan jauh bagi memastikan Selangor terus berdaya saing, berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran ekonomi, sosial dan alam sekitar, sekali gus merealisasikan aspirasi menjadi Negeri Model ASEAN menjelang 2030,” tambah beliau.
Amirudin berkata, antara fokus utama misi pertama ialah memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara menerusi pembangunan lima sektor strategik.
“Lima sektor itu iaitu elektrik dan elektronik, aeroangkasa, automotif, ekonomi digital serta ekonomi kreatif.
“Kerajaan negeri turut menyasarkan pelaburan keseluruhan berjumlah RM330 bilion, pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.1 peratus setahun serta pengurangan kadar pengangguran kepada 2.2 peratus menjelang 2030,” ujar beliau.
Amirudin berkata, bagi memastikan pembangunan lebih seimbang, kerajaan negeri akan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di semua daerah termasuk Sabak Bernam Development Area (SABDA), Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS) dan Selangor Maritime Gateway (SMG).
“Selain itu, kerajaan negeri juga memperkukuh sistem pengangkutan awam menerusi Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor, pelaksanaan transit responsif permintaan (DRT), bandar mesra pejalan kaki serta cadangan Jajaran Rel Selangor," katanya.
Menurutnya, aspek kesejahteraan rakyat turut diberi perhatian menerusi sasaran pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku, peningkatan Skim Smart Sewa kepada 3,000 unit, pengukuhan program kesihatan awam dan peluasan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada 200,000 pelajar.
“Tumpuan lain juga dari segi pemerkasaan TVET, pembangunan ekonomi penjagaan serta usaha memperluaskan peluang pekerjaan dan latihan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat,” tambah beliau.