PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Jumaat membatalkan rayuan Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswaraman bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung inkuiri aduan berkaitan isu pertikaian tanah di Rawang Perdana.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai hakim Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara memutuskan demikian selepas persatuan berkenaan selaku perayu menarik balik rayuan terbabit.
Noorin yang bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid kemudian memerintahkan persatuan itu membayar kos RM10,000 kepada Yayasan Kubra selaku responden.
Sementara itu ketika dihubungi Sinar Harian, peguam, Muhammad Hariz Md Yusoff yang mewakili Yayasan Kubra mengesahkan perkara terbabit.
Turut hadir mewakili Yayasan Kubra ialah Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Ahmad Khalil Md Rofiee, Danial Farhan Zainul Rijal, Nur Fatin Syakinah Kamarudin, Muhammad Iz'aan Azalan, Nur Syafiqah Shafiyah Omar dan Arham Rahimy Hariry.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengurusan kes rayuan isu kuil, tanah Yayasan Kubra ditangguh
Pada 31 Mac lalu, Yayasan Kubra berjaya dalam permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, untuk mengetepikan keputusan awal Mahkamah Majistret Selayang yang meneruskan inkuiri aduan pecah aman bagi binaan struktur rumah anutan tidak sah di atas tanah berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd Hashim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Pada prosiding pada Jumaat, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang itu, adalah muktamad sepenuhnya.
Peguam Amanda Sonia Mathew yang mewakili persatuan memaklumkan, beliau mendapat arahan anak guamnya untuk menarik balik rayuan berkenaan tanpa kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula.
Bagaimanapun, Muhammad Hariz membantah perkara itu dengan menyatakan bahawa kerja-kerja guaman telah dibuat sepenuhnya.
Katanya ia termasuk memfailkan Notis Usul, Afidavit Sokongan bagi membatalkan Rayuan dan hujahan bertulis bagi pihak Yayasan Kubra serta surat ancaman menghalang Yayasan Kubra daripada menjalankan sebarang aktiviti di atas tanah milik sendiri.
Ia bermula dari tarikh Notis Rayuan difailkan oleh persatuan itu sejak Mac hingga Ogos lalu sekaligus memberi prejudis yang serius dan teruk kepada Yayasan Kubra, yang mewajarkan kurniaan perintah terhadap kos.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Majistret Selayang memutuskan, wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah yang menempatkan binaan kuil yang tidak dikawal selia.
Majistret Chai Guan Hock mengarahkan kedua-dua pihak terbabit dalam pertikaian itu hadir ke mahkamah bagi satu siasatan mengikut Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Majistret turut meminta mereka mengemukakan kenyataan bertulis mengenai pemilikan sebenar tanah yang dipertikaikan.
Majistret juga memerintahkan, salinan perintah disampaikan kepada pihak-pihak yang dinamakan dalam kes saman tersebut menurut KTJ.
Katanya, salinan perintah perlu dipamerkan di tanah berkenaan, iaitu di kawasan Rawang Perdana 2.