ISLAM menggalakkan umatnya untuk memiliki harta dan ia merupakan amanah daripada ALLAH SWT.
“Pengurusan kekayaan yang betul adalah penting dalam mengagih dan membelanjakannya untuk kebajikan sosial bagi mereka yang memerlukan.
“Ia juga merupakan sumber kebaikan di akhirat,” ujar khatib pada permulaan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Pahang baru-baru ini.
Perkara tersebut selaras dengan firman ALLAH SWT: “Dan dirikanlah solat serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada rasul supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah an-Nur: 56)
Menurut Jabatan Mufti Pahang, bagi memastikan kekayaan umat Islam disalurkan kepada mereka yang memerlukan dan mengekalkan kelestarian ekonomi, ALLAH SWT telah menetapkan zakat, wakaf dan sedekah untuk kepentingan umat Islam di sesebuah negara.
“Ia penting untuk membersihkan harta dan meningkatkan rohani mereka yang melaksanakannya.
“Matlamat utamanya adalah untuk membantu golongan yang memerlukan dan membantu membangunkan ekonomi yang seimbang dengan mengagihkan semula kekayaan dalam masyarakat,” ujarnya sambil merujuk kepada sepotong ayat al-Quran.
ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, miskin, amil yang menguruskannya, mualaf yang dijinakkan hatinya, hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan ALLAH dan musafir (yang putus bekalan) dalam perjalanan. (Hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan dari ALLAH. Dan ALLAH MAHA MENGETAHUI lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah at-Taubah: 60)
Hak mereka yang memerlukan
Ujar khatib, Pusat Kutipan Zakat Pahang merupakan agensi tunggal kutipan zakat di Pahang untuk memastikan tahap kutipan dan kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat Islam di negeri itu.
“Pada tahun 2025, kutipan zakat terus melonjak naik kepada RM243.19 juta dengan lebih 108,000 orang pembayar.
“Agihan zakat pula diuruskan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang menjalankan pelbagai program untuk meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukan.
Oleh itu khatib berpesan, bersegeralah menunaikan kewajipan zakat kerana setiap rezeki yang diterima bukan milik kita semata-mata kerana ada hak untuk pasangan, anak-anak, saudara-mara, jiran yang memerlukan dan orang miskin yang mengharapkan kebaikan kita.
Ganjaran wakaf langkaui hayat
Ujarnya lagi, Islam juga menggalakkan berwakaf dan ia disyariatkan sebagai cara mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dengan menginfakkan harta di jalan-NYA.
“Wakaf memberhentikan pemilikan harta seseorang individu menjadi hak ALLAH SWT, seterusnya harta tersebut boleh dimanfaatkan bagi kegunaan umum sama ada untuk tujuan keagamaan atau keperluan amal dan masyarakat umum dengan faedah yang berpanjangan selaras dengan syarak.
Firman ALLAH SWT: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, sesungguhnya ALLAH mengetahuinya.” (Surah Ali Imran: 92)
Dalam bab wakaf, Jabatan Mufti Pahang menjelaskan, Wakaf Pahang MUIP merupakan pemegang amanah tunggal, menguruskan dana wakaf sama ada dalam bentuk tunai atau aset serta melaksanakan pembangunan tanah wakaf secara berkesan bagi hasil pulangan yang dapat memberikan impak yang besar terhadap kemajuan ekonomi umat Islam.
Pada akhir khutbah, Jabatan Mufti Pahang terus mengingatkan umat Islam:
1 - Harta merupakan amanah daripada ALLAH SWT yang terkait dengan hak orang lain serta mesti ditunaikan dan akan dipersoalkan pada hari kiamat.
2 - Islam mewajibkan zakat manakala wakaf dan sedekah pula ialah amalan yang amat dituntut untuk membantu mereka yang memerlukan.
3 - Penglibatan kolektif dan strategik semua ibadah ini akan menyumbang kepada impak yang sangat besar dalam pembangunan ummah.