SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor menyifatkan kegagalan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Selangor, sebagai bukti kelemahan kemahiran rundingan serta kepincangan tadbir urus pentadbiran Kerajaan Madani.
Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pihaknya kesal dengan pendedahan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi bahawa kerajaan negeri masih belum menerima sebarang peruntukan daripada KBS, sedangkan temasya Sukma hanya berbaki 10 hari lagi.
Menurut beliau, keadaan itu memalukan kerana kerajaan negeri dilihat terpaksa meluahkan masalah tersebut secara terbuka melalui media walaupun kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diterajui gabungan politik yang sama.
"Kegagalan melepasi birokrasi serta ketiadaan keupayaan berunding sesama sendiri membuktikan wujudnya kepincangan tata kelola yang sangat kritikal dalam pentadbiran Kerajaan Madani hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Selangor terpaksa menganjurkan Sukma 2026 menggunakan sepenuhnya peruntukan kerajaan negeri selepas dana daripada Kerajaan Persekutuan masih belum disalurkan.
Mohd Najwan dilaporkan berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan dua surat permohonan kepada dua Menteri Belia dan Sukan bagi mendapatkan peruntukan, namun sehingga kini permohonan tersebut belum membuahkan hasil.
Mengulas lanjut, Aubidullah berkata, kelewatan itu juga disifatkan tidak selari dengan titah Sultan Selangor yang sebelum ini memperkenankan agar penganjuran Sukma 2026 dilaksanakan secara berhemah dan teliti.
Beliau mempersoalkan kemampuan kerajaan negeri untuk meyakinkan rakyat serta Sultan Selangor dalam menguruskan penganjuran temasya sukan berskala besar sekiranya isu peruntukan asas masih gagal diselesaikan dengan cekap.
Pada masa sama, beliau turut mengkritik Kerajaan Persekutuan menerusi KBS yang didakwa mengetepikan agenda pembangunan sukan negara.
"Putrajaya hari ini dilihat terlalu sibuk berpolitik dan masih belum 'move on' daripada kemerosotan sokongan rakyat dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
"Masa dan tenaga menteri lebih banyak dihabiskan untuk polemik politik berbanding memberi tumpuan kepada urus tadbir negara, khususnya dalam memperkasakan pembangunan belia dan sukan," katanya.
Dalam pada itu, Aubidullah berkata, daripada perspektif syariat Islam, kuasa dan jawatan merupakan satu amanah yang berat, bukannya satu keistimewaan.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:"Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Katanya, mengabaikan kebajikan atlet, melengahkan hak penganjur serta kegagalan mengurus kewangan negara secara profesional merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah kepimpinan.
"Islam sangat menegah sikap sambil lewa dalam urusan pentadbiran harta awam, apatah lagi jika ia menjejaskan maslahat rakyat.
"Justeru, DPPNS mendesak KBS dan Kerajaan Negeri Selangor supaya segera menyelesaikan isu peruntukan ini demi memastikan moral dan semangat atlet Sukma tidak terjejas serta agenda pembangunan sukan negara dapat diteruskan," katanya.