WAKAF tidak seharusnya terus dilihat sekadar sinonim dengan tanah perkuburan, pembinaan masjid atau intitusi tahfiz semata-mata, sebaliknya perlu diperkasakan sebagai antara instrumen penting dalam sistem ekonomi Islam yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat secara lebih meluas.
Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Datuk Mohd Fadzli Yusof ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Waqaf Taqwa Berhad yang ditubuhkan di bawah naungan Masjid At-Taqwa TTDI baru-baru ini.
Menurut beliau, penubuhan entiti tersebut merupakan pendekatan baharu bagi mengurus dan membangunkan aset wakaf secara lebih profesional, telus serta berteraskan tadbir urus yang baik.
“Islam sesuai untuk sepanjang zaman. Maka pengurusan wakaf juga perlu bergerak mengikut keperluan semasa.
Majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Dalam ucapannya, Mohd Fadzli turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP yang melantik Masjid At-Taqwa sebagai mutawalli wakaf.
Bukan berorientasi keuntungan
Menurutnya, pelantikan tersebut menjadi satu pengiktirafan penting kerana masjid berkenaan dipercayai merupakan institusi masjid pertama di negara ini yang diberikan tanggungjawab sebagai mutawalli wakaf di bawah MAIWP.
"Tiada saham yang dimiliki individu. Ia bukan syarikat berorientasikan keuntungan, tetapi sebuah organisasi yang berfungsi mengurus amanah wakaf dengan lebih sistematik," jelasnya.
Beliau berkata, operasi syarikat tertakluk kepada Akta Syarikat 2016 dan dilengkapi dengan struktur tadbir urus yang komprehensif termasuk Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Syariah serta mekanisme pemantauan kewangan bersama MAIWP.
Sambutan masyarakat
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap harta yang diwakafkan diurus secara telus dan kekal menjadi milik umat Islam.
“Sambutan masyarakat terhadap institusi wakaf ini amat menggalakkan apabila kutipan daripada penyumbang awal mencecah kira-kira RM250,000 dalam tempoh empat bulan.
“Pada peringkat awal, kita berjaya mengumpulkan sekitar RM30,000 sebelum jumlah itu meningkat kepada kira-kira RM250,000 hasil sokongan pelbagai pihak termasuk penyumbang dari Sri Lanka,” katanya.
Selain itu, ujarnya,Takaful Malaysia turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 bagi membantu kos operasi Waqaf Taqwa Berhad.
“Semoga segala khidmat dan sumbangan ini diterima ALLAH SWT sebagai amal jariah yang berterusan,” katanya.