SHAH ALAM - Pas didakwa sengaja mengalihkan isu berhubung laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, parti pembangkang itu lebih cenderung mempersoalkan masa pendedahan laporan berkenaan berbanding membahaskan intipati yang dikemukakan.
“Pas nampaknya masih giat dengan budaya politik mengalih tiang gol. Apabila kerajaan membentangkan dapatan RCI TH baru-baru ini, mereka tidak berminat untuk membahaskan kandungan di dalam laporan tersebut, sebaliknya disoal pula mengapa didedahkan sekarang.
“Parah sungguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Beliau mengulas persoalan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mengenai sebab dapatan RCI TH didedahkan baru-baru ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menempelak alasan tindakan tidak diambil lebih awal kerana kononnya dikhuatiri menjejaskan keyakinan pelabur.
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan bila tempoh masa paling sesuai dirasakan Pas untuk mendedahkan dapatan RCI TH jika bukan sekarang.
“Sebenarnya, bila waktu yang dianggap sesuai oleh Pasir Mas? Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah? Sebelum PRN Johor? Selepas selesai PRN Negeri Sembilan atau mungkin sebelum PRN Sarawak dan selepas PRN Melaka?
"Mungkin tunggu sahaja selesai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)?" soalnya.
Muhammad Kamil berpandangan, watak seperti Ahmad Fadhli akan sentiasa melampiaskan rasa tidak puas hati tidak kira bila laporan tersebut didedahkan sekali pun.
“Kita buka satu medan, mereka (Pas) akan segera membuka medan yang lain sedangkan bukan mereka tidak tahu beberapa tangkapan telah pun berjalan dan kelak digerakkan pendakwaan terhadap watak-watak yang dikenalpasti terlibat,” katanya.
Beliau juga secara sinis meminta Ahmad Fadhli yang 'otak geliga' untuk mengambil bahagian dalam sesi pembahasan laporan RCI TH di Dewan Rakyat dan membentangkan hujah-hujah berkualiti sepertimana selalu dilakukannya.
Tambah Muhammad Kamil, kerajaan ketika ini sudah menjelaskan bahawa pihak pengurusan TH sendiri yang memohon agar pendedahan laporan tidak dibuat sejurus RCI kerana bimbangkan implikasinya terhadap keyakinan pendeposit dan keteguhan institusi tersebut.
“Mungkin Pasir Mas belum benar-benar memahami bagaimana sentimen pasaran dan dunia pelaburan berfungsi. Hakikatnya TH hari ini semakin pulih, kembali mencatat keuntungan dan kedudukan asetnya mengatasi liabiliti.
“Kalau pun Pasir Mas tidak boleh menyanggah fakta, jangan pula bermain dengan sentimen dan emosi rakyat.
“Skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang pernah menjadi skandal kewangan terbesar dunia pun akhirnya ‘disucikan’ apabila Pas mempunyai kepentingan,” ujarnya lagi.