PENUBUHAN Waqaf Taqwa Berhad yang diasaskan jawatankuasa kariah Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) melakar sejarah tersendiri apabila institusi itu menjadi yang pertama diiktiraf sebagai mutawalli wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Sebagai mutawalli wakaf MAIWP, institusi itu boleh menerima, mengurus, membangunkan dan mengagihkan manfaat wakaf secara profesional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menjelaskan, inisiatif tersebut merupakan satu inovasi yang membuktikan institusi masjid bukan hanya berperanan sebagai pusat ibadah, bahkan mampu menjadi peneraju pembangunan ekonomi ummah menerusi instrumen wakaf.
“MAIWP telah mengiktiraf Wakaf Taqwa Berhad sebagai institusi pertama di Malaysia yang ditubuhkan atas inisiatif jawatankuasa kariah masjid dan ia diperbadankan bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai mutawalli wakaf.
Menurut beliau, amalan berwakaf merupakan antara amal soleh yang pahalanya berpanjangan hingga ke hari akhirat dan ia selari dengan sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia ialah yang panjang umurnya dan baik amalnya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)
Barat aplikasi sistem wakaf Islam
Mengimbau pengalaman ketika menjadi pensyarah subjek kewangan Islam di New York pada 2014 dan 2015, Zulkifli berkata, konsep wakaf Islam sebenarnya telah memberi pengaruh besar kepada perkembangan sistem undang-undang di Barat.
Ujarnya, beliau sering menjelaskan kepada pelajar bahawa antara faktor kejayaan universiti-universiti terkemuka di Amerika Syarikat seperti Harvard University, Yale University, Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Columbia University ialah kewujudan dana endowment yang kukuh.
“Apabila diteliti dari sudut sejarah dan akademik, konsep endowment tersebut mempunyai persamaan yang sangat rapat dengan konsep wakaf dalam Islam.
Beliau berkata, beberapa penulisan akademik antarabangsa turut membuktikan bahawa undang-undang Islam telah memberi sumbangan penting terhadap perkembangan sistem perundangan moden, termasuk konsep amanah (trust) yang menjadi asas kepada pengurusan endowmen di Barat.
Jurang wakaf dan zakat
Dalam pada itu, Zulkifli turut menyuarakan kebimbangan terhadap jurang kutipan yang masih besar antara zakat dan wakaf di Malaysia.
Menurut beliau, kutipan zakat di seluruh negara kini mencecah sekitar RM4.6 bilion setahun, manakala kutipan wakaf tunai pula hanya sekitar RM240 juta.
“Tanah wakaf banyak, namun tanpa modal kewangan, pembangunan sukar dilaksanakan,” tambahnya.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik cadangan memperluaskan penggunaan kod QR bagi memudahkan masyarakat menyumbang wakaf secara digital.
Beliau berharap pendekatan tersebut dapat membudayakan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat, sekali gus memperkukuhkan ekosistem kewangan sosial Islam yang turut merangkumi zakat, hibah dan pewarisan.
“Wakaf mempunyai potensi yang sangat besar sebagai instrumen pembangunan ekonomi ummah. Apa yang diperlukan hari ini ialah penyertaan lebih ramai masyarakat agar aset wakaf dapat dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.