Darul Ulum Al Mahfuz sasar bina kompleks tahfiz baharu

Iklan
Pelajar yang menuntut ilmu agama di Darul Ulum Al Mahfuz. FOTO: Darul Ulum Al Mahfuz.

CHEMOR – Darul Ulum Al Mahfuz (DUAM) merancang membangunkan sebuah kompleks tahfiz baharu bagi menyediakan persekitaran pembelajaran dan kebajikan yang lebih kondusif untuk anak-anak yatim serta golongan asnaf.

Pengerusi Darul Ulum Al Mahfuz, Muhammad Adam Azhari berkata, pembangunan di atas tanah yang diwakafkan itu mampu menempatkan sehingga 30 pelajar, sekali gus memperluaskan peluang pendidikan kepada golongan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak ditubuhkan, DUAM bukan sekadar berperanan sebagai pusat tahfiz, malah menjadi tempat perlindungan dan pembentukan sahsiah buat pelajar yang datang daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

“Di sini mereka bukan hanya mempelajari al-Quran, tetapi turut menerima tempat tinggal, makanan, pendidikan, bimbingan agama dan penjagaan harian.

Iklan

“Bagi sebahagian pelajar, DUAM menjadi rumah kedua yang memberi ruang untuk mereka membina kehidupan yang lebih baik melalui ilmu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, kompleks baharu itu dirancang lengkap dengan asrama, bilik pembelajaran al-Quran, kediaman ustaz, surau, dewan serbaguna, pejabat pentadbiran, dapur, dewan makan serta pelbagai kemudahan lain bagi memenuhi keperluan pelajar.

Iklan

Katanya, kemudahan seperti ruang rawatan, sistem keselamatan, stor makanan, kemudahan teknologi pembelajaran serta infrastruktur asas turut dirancang bagi memastikan kebajikan penghuni sentiasa terpelihara.

Muhammad Adam berkata, ketika ini DUAM memerlukan kira-kira RM20,000 sebulan bagi menampung kos operasi termasuk makanan dan minuman pelajar, pendidikan, penginapan, utiliti, pengangkutan, rawatan, penyelenggaraan premis serta elaun tenaga pengajar.

“Keutamaan kami ialah memastikan anak-anak ini dapat meneruskan pembelajaran dalam suasana yang selesa tanpa perlu memikirkan kekurangan keperluan asas.

“Hasrat kami bukan sekadar membina sebuah bangunan, tetapi menyediakan sebuah rumah yang membolehkan mereka belajar, membesar dan membina masa depan berteraskan al-Quran,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyokong usaha pendidikan dan kebajikan DUAM boleh menyalurkan sumbangan ke Akaun Maybank Darul Ulum Al Mahfuz nombor akaun 5584 3512 8088.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi Muhammad Adam di talian 017-539 0674 atau menerusi laman Facebook Darul Ulum Al Mahfuz.