BANGKOK – Beberapa individu dilaporkan maut selepas seorang pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah Nonthaburi, utara Bangkok, pada Jumaat.
Menurut pihak berkuasa Thailand, suspek yang dikenal pasti sebagai seorang pelajar melancarkan serangan di sebuah sekolah di daerah Bang Kruai.
Ketua Balai Polis Plai Bang, Leftenan Kolonel Pasakorn Chaitawiwong berkata, jumlah sebenar mangsa yang maut masih belum dapat dipastikan.
"Jumlah kematian masih belum diketahui," katanya kepada Reuters.
Setakat ini, pihak polis belum mendedahkan identiti suspek, motif serangan atau jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban dan cedera.
Gambar yang dikongsi petugas kecemasan menunjukkan pelajar bergegas keluar dari Sekolah Debsirin Nonthaburi di pinggir barat laut Bangkok ketika ambulans dan pasukan penyelamat menjalankan operasi.
Salah satu gambar memperlihatkan seorang mangsa dibawa menggunakan pengusung ke ambulans, manakala seorang lagi menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.
Insiden itu berlaku kira-kira enam bulan selepas seorang guru maut dan seorang pelajar cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah sekolah di daerah Hatyai, selatan Thailand pada Februari lalu.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan dijangka mengemas kini perkembangan kes dalam masa terdekat. –Agensi