Pelaburan institusi berbeza dengan Individu

Iklan
Pelaburan melibatkan proses mengenal pasti potensi keuntungan dan menilai risiko yang berkaitan. Foto hiasan

KAEDAH pelaburan institusi berbeza dengan pelaburan individu. Setiap institusi pelaburan, sama ada berkaitan kerajaan mahupun dimiliki sepenuhnya oleh sektor swasta, tidak boleh membuat pelaburan sesuka hati.

Bagi institusi pelaburan yang ditubuhkan di bawah mana-mana akta Parlimen, misalnya, pelaburan perlu dibuat mengikut mandat penubuhan masing-masing.

Iklan
Iklan

Institusi pelaburan di sektor swasta seperti syarikat pengurusan pelaburan atau syarikat unit amanah pula terikat dengan mandat yang diperuntukkan dalam kontrak bersama penyumbang modal mereka.

Perkara ini penting untuk difahami kerana objektif pelaburan serta mandat yang dipegang akan mencorakkan selera risiko dan sasaran pulangan institusi tersebut.

Iklan

Sesebuah institusi yang menguruskan dana persaraan mempunyai profil aliran tunai yang berbeza daripada institusi lain yang menguruskan dana dengan tempoh penggunaan yang lebih pendek.

Institusi yang mengurus dana persaraan lazimnya mengetahui bila para pencarum akan bersara serta jumlah pembayaran yang perlu dibuat.

Iklan

Sebaliknya, institusi seperti bank, yang aliran keluar masuk wangnya lebih sukar dijangka, perlu mengambil kira faktor tersebut dalam menyusun strategi pelaburan mereka.

Oleh itu, susunan jenis pelaburan dan agihan kepada setiap kelas aset boleh berbeza mengikut objektif penubuhan sesebuah institusi.

Dalam dunia pelaburan, keuntungan dan kerugian merupakan perkara yang lumrah. Jangan pula timbul anggapan bahawa setiap pelaburan yang dibuat secara profesional pasti menghasilkan keuntungan.

Apa yang penting ialah pengurusan risiko yang berkesan serta keupayaan menjana keuntungan keseluruhan yang melebihi kerugian, di samping memberikan pulangan yang setimpal dengan risiko yang diambil.

Sebagai individu, kita melaburkan wang sendiri. Apa jua hasilnya, sama ada untung atau rugi, kitalah yang menanggung akibatnya. Ramai orang suka bercerita apabila memperoleh keuntungan, tetapi apabila mengalami kerugian mereka memilih untuk berdiam diri.

Hal ini mungkin tidak memberi kesan kepada pihak lain, melainkan jika individu tersebut mempunyai tanggungan keluarga dan kerugian yang dialami menjejaskan keupayaannya menyara keluarga.

Malah, masih ramai yang tidak dapat membezakan antara pelaburan dan perjudian atau spekulasi melampau. Pelaburan melibatkan proses mengenal pasti potensi keuntungan dan menilai risiko yang berkaitan.

Setelah memahami bahawa sesuatu pelaburan mempunyai potensi keuntungan dan risiko yang perlu ditanggung, barulah seseorang pelabur membuat keputusan untuk melaburkan wangnya.

Sebaliknya, mereka yang hanya “menikam” lebih bergantung kepada nasib daripada membuat pertimbangan berasaskan maklumat. Mereka mudah terpengaruh dengan cerita tentang keuntungan yang diperoleh orang lain lalu terus melabur tanpa berfikir panjang.

Mereka hanya mula bertanya dan mencari penjelasan apabila pulangan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan. Pada ketika itu, selalunya sudah terlambat.

Oleh yang demikian, sudah tentu pendekatan institusi pelaburan berbeza daripada cara seorang individu melabur. Pengurus pelaburan di institusi pelaburan memegang amanah yang besar dan perlu bertindak mengikut amanah tersebut.

Amanah itu wujud berdasarkan objektif penubuhan sekiranya institusi berkenaan merupakan agensi kerajaan.

Bagi institusi sektor swasta pula, amanah tersebut bergantung pada kontrak yang dipersetujui antara institusi dan para pelabur.

Dari sudut undang-undang, pengurus pelaburan juga mempunyai tanggungjawab fidusiari terhadap pihak yang menyerahkan wang kepada mereka untuk diuruskan.

Tanggungjawab fidusiari ini merangkumi kewajipan membuat pelaburan secara berhemah dan profesional, mengutamakan kepentingan pelabur berbanding pihak lain, serta membuat pendedahan yang mencukupi agar pelabur memahami keadaan dan perkembangan pelaburan mereka.

Oleh itu, individu yang membuat keputusan pelaburan bagi pihak orang lain mesti jelas tentang kepada siapa kesetiaan dan tanggungjawab mereka harus diberikan.

Mencampuradukkan pertimbangan pelaburan dengan unsur-unsur yang tidak berkaitan boleh menyebabkan berlakunya pelanggaran mandat dan amanah yang telah diberikan.

Kadangkala terdapat juga pihak luar yang cuba menunggang institusi pelaburan dengan membesar-besarkan isu yang tidak berkaitan dengan objektif dan mandat pelaburan.

Hakikatnya, pelaksanaan mandat dan pemeliharaan amanah merupakan tonggak utama industri pelaburan.

Oleh yang demikian, mereka yang terlibat dalam bidang ini bukan sahaja perlu bijaksana, malah mesti memiliki integriti yang tinggi. Kepentingan pelabur hendaklah sentiasa diletakkan mengatasi segala pertimbangan lain.

Akhirnya, amanah yang dipikul ini bukan sahaja akan dipersoalkan di dunia, malah turut akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.