Kuala Cola sasar pasaran Indonesia, UAE

Iklan
Indonesia menjadi antara pasaran jenama minuman Kuala Cola yang harus diberi perhatian berikutan hubungan rapat dengan Malaysia dari segi budaya dan perdagangan.

KUALA LUMPUR – Pengeluar minuman tempatan, Neatness Group Sdn Bhd menyasarkan pasaran Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai destinasi pengembangan antarabangsa bagi jenama Kuala Cola.

Pemilik jenama minuman berkarbonat itu mengadakan Business Presentation Kuala Cola – Indonesia & United Arab Emirates di Malaysian Tourism Centre (MATIC), Ampang, pada Khamis sebagai platform memperkenalkan produknya kepada bakal rakan niaga, pengedar dan pemain industri dari kedua-dua negara.

Iklan
Iklan

Program bertemakan ‘From Kuala Lumpur to Global Market’ itu memberi tumpuan kepada peluang kerjasama dalam aspek pengedaran, eksport, peruncitan, hospitaliti, perkhidmatan makanan serta kerjasama strategik.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Neatness Group, Datuk Suzana Zakaria berkata, pengembangan Kuala Cola ke pasaran luar negara merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat untuk membangunkan jenama Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Iklan

Kuala Cola kini menawarkan tiga pilihan iaitu Original Cola, Mix Cola dan Zero Sugar Cola dengan membawa tagline ‘3 Rasa Berbeza, Pilihan Malaysia’.

Menurut syarikat itu, Indonesia menjadi antara pasaran yang diberi perhatian berikutan hubungan rapat dengan Malaysia dari segi budaya dan perdagangan.

Iklan

UAE pula dilihat mempunyai kepentingan strategik sebagai salah satu hab perdagangan dan perniagaan antarabangsa yang berpotensi menjadi pintu masuk kepada pasaran lebih luas.

Program berkenaan turut merangkumi pembentangan video Kuala Cola, pembentangan perniagaan dan pasaran, sesi perbincangan kumpulan serta sesi jaringan bersama.

Neatness Group berharap pertemuan itu dapat membuka peluang kepada pembentukan rangkaian rakan strategik selain memperluaskan akses pasaran Kuala Cola di luar negara.

Langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat membawa produk minuman tempatan ke pasaran antarabangsa menerusi kerjasama dengan pengedar dan pemain industri di negara sasaran.