KTIP taman perindustrian pertama di Pantai Timur terima sokongan MIP

Iklan
(Dari kiri) Hock Guan, Faizal, Hock San, Awasi dan Lit Chek pada majlis pengumuman KTIP sebagai taman perindustrian pertama di Pantai Timur yang menerima akreditasi MIP pada Khamis.

KERTIH Terengganu Industrial Park (KTIP) muncul sebagai taman perindustrian pertama di Pantai Timur menerima sokongan Taman Perindustrian Terurus atau Managed Industrial Park (MIP).

Dibangunkan MGB Berhad (MGB), syarikat pembinaan, pembangunan hartanah dan pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, KTIP berkeluasan kasar kira-kira 407.5 hektar di Kertih, Terengganu.

Iklan
Iklan

Terletak di lokasi strategik dengan sokongan infrastruktur dan jaringan hubungan sedia ada, taman perindustrian itu mempunyai potensi tinggi untuk menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.

KTIP menawarkan tempoh pegangan tanah selama 99 tahun dan memperoleh kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pada 2025 sekali gus menandakan kemajuan penting dalam perancangan dan pembangunan taman perindustrian berkenaan.

Iklan

Sokongan itu turut mencerminkan pendekatan MGB yang tersusun dalam pengurusan taman perindustrian, merangkumi aspek infrastruktur, daya saing perniagaan, kelestarian alam sekitar dan kesiapsiagaan operasi secara keseluruhan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Datuk Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, sokongan MIP merupakan satu pencapaian penting bagi KTIP dan mencerminkan komitmen kumpulan membangunkan sebuah destinasi perindustrian yang diurus dengan baik, berdaya saing dan bersedia untuk pelaburan di Pantai Timur.

Iklan

“Pengiktirafan ini terus memperkukuh daya tarikan pelaburan KTIP serta menyediakan asas yang kukuh untuk kami memperkenalkan taman perindustrian ini kepada komuniti pelaburan yang lebih luas.

“Bersama-sama dengan rangkaian promosi pelaburan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) yang luas serta capaian antarabangsanya, kami percaya KTIP berada pada kedudukan terbaik untuk menarik pelaburan berkualiti, mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan industri dan ekonomi Terengganu yang berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman KTIP sebagai taman perindustrian pertama di Pantai Timur Malaysia yang menerima sokongan MIP pada Khamis.

Majlis disempurnakan bersama Hock San; Pengarah Eksekutif, Promosi Pelaburan, MIDA, Faizal Jalaludin serta Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad, Datuk Wira Lim Hock Guan; Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Lim Lit Chek; Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Kim Hoe; serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Wong Tack Leong dan Chew Wee Seong.

Hock San berkata, sokongan MIP membuktikan KTIP memenuhi standard lebih tinggi dalam aspek perancangan dan pengurusan taman perindustrian, selain menyediakan kemudahan kepada pelabur.

“Sokongan itu memberi keyakinan lebih tinggi kepada pelabur bahawa mereka akan mendapat akses kepada infrastruktur yang cekap, perkhidmatan sokongan yang lebih lancar serta ekosistem perindustrian yang ditadbir dengan baik.

“Ia turut mengukuhkan kedudukan KTIP sebagai destinasi pelaburan utama di Pantai Timur Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Faizal berkata, MIDA berbesar hati bekerjasama dengan MGB dalam mempromosikan KTIP sebagai destinasi pelaburan di Pantai Timur.

“Kerjasama antara MGB dan MIDA ini dijangka dapat meningkatkan lagi keterlihatan KTIP dalam kalangan pelabur domestik dan antarabangsa serta menyokong usaha untuk menarik pelaburan berkualiti yang dapat menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi Terengganu serta wilayah Pantai Timur secara keseluruhannya," katanya.