BERMULA 10 Julai lalu hingga 14 Ogos, permohonan kemasukan pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 untuk sekolah khusus bagi tahun 2027 telah mula dibuka. Seperti ibu bapa lain, penulis juga tidak terlepas peluang untuk cuba memohon kemasukan ke sekolah asrama bagi anak sulung.
Namun jauh di sudut hati penulis, terdetik juga kebimbangan. Takut anak tidak boleh berdikari, usia 13 tahun masih muda untuk berjauhan daripada keluarga dan bermacam-macam lagi.
Di satu sudut, peluang belajar di asrama dianggap sebagai platform terbaik untuk membentuk disiplin, meningkatkan prestasi akademik dan melahirkan anak yang lebih berdikari.
Tapi di sudut lain, ramai ibu bapa berdepan dilema besar apabila perlu membuat keputusan sama ada melepaskan anak tinggal jauh daripada keluarga atau mengekalkan mereka di sekolah harian.
Dahulu, kemasukan ke asrama sering dianggap sebagai satu kebanggaan. Malah, ramai ibu bapa sanggup berusaha memastikan anak berjaya memperoleh tempat kerana percaya persekitaran pembelajaran yang kondusif mampu membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan.
Tetapi kini, ibu bapa bukan lagi sekadar menilai kelebihan akademik, sebaliknya turut mengambil kira aspek keselamatan, kesejahteraan mental dan kebajikan anak sepanjang berada di asrama.
Antara kebimbangan paling besar ialah isu buli yang masih menghantui institusi pendidikan. Walaupun pelbagai langkah pencegahan telah dilaksanakan pihak sekolah dan kementerian, laporan demi laporan mengenai kes buli yang tular di media sosial sedikit sebanyak menimbulkan keresahan ibu bapa.
Bagi ibu ayah, persoalannya mudah tetapi berat. Mampukah anak mereka mempertahankan diri jika menjadi mangsa buli? Adakah anak berani melaporkan kejadian kepada pihak sekolah? Lebih risau, ada ibu bapa yang bimbang anak memilih untuk memendam perasaan sehingga menjejaskan emosi dan prestasi pembelajaran.
Walaupun majoriti pelajar memanfaatkan kehidupan di asrama dengan baik, segelintir kes yang mendapat perhatian umum sudah cukup untuk mencetuskan kebimbangan.
Pada masa sama, ibu bapa turut memikirkan soal kemampuan anak menyesuaikan diri. Tidak semua anak bersedia untuk berjauhan daripada keluarga seawal usia belasan tahun. Ada yang mudah mengalami tekanan, rindu rumah atau sukar menyesuaikan diri dengan jadual kehidupan yang lebih tersusun.
Namun, tidak adil jika sekolah berasrama hanya dilihat dari sudut negatif. Hakikatnya, ribuan pelajar berjaya menamatkan pengajian di asrama setiap tahun dan muncul sebagai individu yang lebih matang dan berdisiplin.
Kehidupan di asrama mengajar mereka mengurus masa, berdikari, menghormati peraturan dan hidup bersama individu daripada pelbagai latar belakang.
Persoalan sebenar bukanlah sama ada asrama itu baik atau buruk, tetapi sejauh mana sistem sokongan mampu menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Pihak sekolah perlu terus memperkukuh mekanisme pemantauan, mempercepat tindakan terhadap aduan serta mengamalkan pendekatan sifar toleransi terhadap buli dan salah laku.
Akhirnya, setiap keputusan mempunyai kelebihan dan cabarannya. Menghantar anak ke asrama bukan sekadar keputusan mengenai tempat belajar, tetapi juga soal kepercayaan, harapan dan keberanian melepaskan anak melangkah ke fasa kehidupan yang lebih mencabar.
*Farah Nabila Mohamed Saris ialah Sub Editor Sinar Harian