JAKARTA - Hampir 1,000 laras senjata api dan pistol replika atau senjata jenis airsoft, bersama peluru, bahan disyaki dadah serta cakera video lucah ditemukan di dalam sebuah bilik berkunci di sebuah sekolah swasta di Jakarta Selatan.
Peguam Hermawanto, yang mewakili yayasan sekolah berkenaan berkata, barangan itu ditemukan selepas pihak sekolah membuka bilik berkenaan dengan bantuan Polis Metro Jakarta Selatan.
"Apabila kami membuka bilik itu, kami menemukan senjata dan dadah di dalamnya. Hari ini, kami turut membuat laporan polis baharu berhubung penemuan dadah berkenaan," katanya di ibu pejabat Polis Metro Jakarta Selatan pada Khamis, menurut Agensi Berita Antara.
Hermawanto berkata, bilik itu hanya dapat dibuka selepas pihak yayasan mendapatkan bantuan Polis Metro Jakarta Selatan kerana semua kunci masih berada dalam simpanan bekas ketua lembaga pengurusan yayasan itu selepas beliau dipecat.
Beliau kemudian mendakwa bahawa senjata dan barangan berkenaan disimpan oleh bekas ketua lembaga pengurusan yayasan itu, yang dipecat pada 18 April lepas selepas didakwa menyalahgunakan dana yayasan bagi kepentingan peribadi.
Beliau berkata, pihak yayasan pada mulanya menemukan 995 laras senjata api dan senjata airsoft, peluru serta aksesori senjata di dalam bilik berkenaan pada 10 Julai sebelum menemukan lebih banyak senjata, bahan yang disyaki ganja dan methamphetamine, serta kira-kira 25 cakera video lucah dalam satu lagi pemeriksaan pada Rabu.
Polis Metro Jakarta Selatan mengesahkan menerima laporan orang awam berhubung penemuan itu dan memaklumkan bahawa kes berkenaan sedang disiasat. - Bernama