Penumpang bergelut tahan lelaki cuba buka pintu pesawat

Iklan
Pelaku dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala tiada kru atau penumpang lain dilaporkan cedera ketika pergelutan tersebut. - Foto Agensi

PHOENIX - Tindakan seorang penumpang cuba membuka pintu pesawat semasa berada di ruang udara mencetuskan detik mencemaskan sehingga memaksa penerbangan American Airlines dilencongkan ke Phoenix, Arizona.

American Airlines memaklumkan, penerbangan 1494 yang berlepas dari San Diego itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phoenix Sky Harbor selepas seorang penumpang mengganggu ketenteraman dalam pesawat ketika kejadian pada Rabu.

Iklan
Iklan

Identiti lelaki terbabit bagaimanapun tidak didedahkan.

Menurut Polis Phoenix, penumpang itu meluru ke bahagian hadapan pesawat malah berulang kali ingkar arahan kru kabin supaya kembali ke tempat duduknya.

Iklan

Lelaki itu kemudiannya cuba menyentuh pintu keluar pesawat sehingga mencetuskan kekecohan dalam kabin.

Beberapa penumpang bersama kru kabin terpaksa bergelut dengan lelaki berkenaan sebelum berjaya menundukkannya demi memastikan pesawat dapat mendarat dengan selamat di Phoenix kira-kira jam 1 pagi.

Iklan

Pelaku dilaporkan mengalami kecederaan ringan manakala tiada kru atau penumpang lain dilaporkan cedera ketika pergelutan tersebut.

Sean Bennett yang yang merakam insiden itu turut berkongsi video berkenaan di media sosial.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan American Airlines mengesahkan penerbangan itu menyambung semula perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago selepas penumpang tersebut dibawa turun dari pesawat.

Polis Phoenix mengesahkan lelaki terbabit tidak ditahan, namun Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Siasatan berhubung insiden berkenaan masih dijalankan. - Agensi