Jojo masih cari jodoh

Iklan
Jojo hidup dalam kesepian hampir dua dekad dan kini masih mencari pasangan. Foto Agensi

LIBREVILLE - Selepas hampir dua dekad hidup tanpa teman daripada spesies sendiri, seekor gorila bernama Jojo kini menanti peluang untuk merasai kehidupan bersama haiwan sejenisnya di sebuah pusat perlindungan hidupan liar di Gabon, Afrika.

Jojo, gorila jantan berusia kira-kira 22 tahun, dipercayai antara kes pengasingan paling ekstrem pernah direkodkan dalam kalangan primat besar selepas dipisahkan daripada keluarganya ketika berusia kurang setahun.

Iklan
Iklan

Haiwan itu ditangkap pemburu haram ketika masih berpaut pada ibunya, manakala anggota keluarganya yang lain dipercayai dibunuh dalam kejadian berkenaan.

Jojo kemudian dijual kepada sebuah zoo persendirian di Gabon dan dikurung dalam sangkar besi kecil selama bertahun-tahun sebelum diselamatkan pada 2015.

Iklan

Dia kini ditempatkan di pusat perlindungan Lekedi Foundation, namun masih menjalani kehidupan bersendirian tanpa pernah berpeluang membina hubungan sosial dengan gorila lain.

Menurut profesor dari Universiti Sussex, Gillian Forrester yang mengkaji tingkah laku dan pemulihan trauma primat itu, kes Jojo merupakan antara contoh pengasingan paling ekstrem yang pernah ditemuinya.

Iklan

Penjaga Jojo, Maxe Anaclet Makaba berkata, gorila berkenaan menunjukkan keinginan kuat untuk berinteraksi dengan manusia yang menjaganya setiap hari.

Malah, Jojo sanggup mengumpulkan daun dan menyerahkannya kepada penjaga supaya mereka menukarnya dengan makanan sebagai alasan untuk berinteraksi lebih lama.

Jojo juga sering mengeluarkan bunyi tertentu apabila penjaga wanita yang dikenalinya meninggalkan kawasan kandangnya.

Pengurus pusat perlindungan itu, Éric Willaume percaya tingkah laku tersebut menunjukkan Jojo memerlukan hubungan sosial dan berasa kesunyian.

Kajian menggunakan kamera pengimejan terma oleh Forrester turut mengesan hidung Jojo kekal sejuk untuk tempoh luar biasa, satu petunjuk yang mungkin berkaitan tindak balas tekanan kronik.

Keadaan itu mencetuskan kebimbangan bahawa pengalaman traumatik sejak kecil masih memberi kesan terhadap kesejahteraannya.

Pihak pusat perlindungan kini berusaha mencari seekor gorila lain yang sesuai untuk diperkenalkan kepada Jojo, sama ada haiwan yang diselamatkan atau dibesarkan dalam kurungan di zoo bertauliah.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan pelbagai cabaran kerana pemindahan gorila antara negara tertakluk kepada prosedur ketat, termasuk pemeriksaan kesihatan, faktor genetik dan keserasian tingkah laku.

Pakar juga mencadangkan proses perkenalan dilakukan secara berperingkat, termasuk membiasakan Jojo dengan bau haiwan lain sebelum mereka dibenarkan bertemu secara bersemuka.

Namun, tidak semua pakar yakin langkah itu akan berjaya.

Konservasionis Tony King berpendapat usia Jojo yang sudah matang mungkin menyukarkan proses membina hubungan baharu, malah kehadiran gorila lain berpotensi menambah tekanan jika proses perkenalan tidak berjalan lancar.

Menurut pakar tingkah laku gorila dari Universiti Zurich, Robin Morrison, hubungan sosial memainkan peranan penting dalam kehidupan haiwan berkenaan.

Gorila lazimnya bergerak, mencari makanan dan tidur bersama kumpulan keluarga mereka.

Walaupun kira-kira satu pertiga gorila jantan dewasa hidup bersendirian selepas mencapai usia matang, keadaan Jojo berbeza kerana dia dipisahkan daripada kumpulannya ketika masih bayi dan tidak pernah mempelajari kehidupan sosial secara normal.

Penjaga Jojo berharap usaha mencari teman baharu dapat memberikan peluang kepadanya menikmati kehidupan yang lebih baik.

Bagi mereka, kehadiran seekor lagi gorila bukan sekadar teman bermain, sebaliknya peluang untuk Jojo mengenali semula kehidupan yang sepatutnya dinikmatinya sejak kecil.- Agensi