IPOH - Jabatan Perikanan Perak menjalankan siasatan lanjut susulan video tular memaparkan seekor ikan lumba-lumba dipercayai mati terdampar di Ban Pecah, Tanjung Piandang.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, pihaknya telah mengambil maklum mengenai video berdurasi 27 saat yang dikongsi di media sosial.
Iklan
Iklan
Menurutnya, berdasarkan pemerhatian awal terhadap rakaman tersebut, kejadian berkenaan dipercayai baru sahaja berlaku.
“Sekiranya benar terdapat bangkai haiwan tersebut, kami akan mengambilnya untuk tujuan analisis lanjut bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Beliau berkata, ikan lumba-lumba yang dipercayai dalam video itu berkemungkinan daripada spesies Irrawaddy yang jarang ditemui dan dilindungi.
Video tular yang dikongsi sejak dua hari lalu itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap keadaan hidupan marin di kawasan tersebut.