Jika kita fikir secara jujur, isu ajaran sesat ini bukan benda baharu, ia bukan fenomena rare yang tiba-tiba muncul di zaman TikTok atau era digital.
Hakikatnya, penyelewengan akidah ini sudah wujud sejak zaman dahulu lagi, ibarat virus lama yang sentiasa upgrade version mengikut zaman.
Antara modus operandi yang paling klasik golongan sesat ialah mendakwa perkara luar biasa seperti mengaku sebagai wakil Tuhan, Imam Mahdi, bahkan sebagai Nabi. Nampak macam plot drama, tapi realitinya itulah yang berlaku dalam masyarakat kita.
Antara contoh amalan yang dianggap tidak bersalah masa kini ialah pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan kononnya sekadar ‘kawan biasa’, hubungan intim di luar perkahwinan, serta percakapan lucah, sindiran seksual dan humor berunsur maksiat di platform digital.
Selain itu, hubungan songsang LGBT dianggap sebagai hak asasi yang perlu ditoleransikan. Budaya minum arak dan parti hiburan juga dianggap sebagai cara bersosial dan melepaskan tekanan, khususnya dalam kalangan sesetengah golongan.
Sejarah tidak pernah menipu
Zaman Rasulullah SAW sendiri sudah menyaksikan kemunculan individu seperti Musailimah al-Kazzab dan Al-Aswad al-‘Ansi yang mendakwa sebagai nabi. Selepas kewafatan Baginda, muncul pula beberapa lagi individu yang cuba menunggang agama untuk kepentingan diri.
Dua perkara penting yang kita boleh lihat di sini ialah penyelewengan akidah, bukan kes terpencil.
Penyelewengan akidah berlaku secara berulang dalam sejarah manusia.
Maknanya, kalau hari ini kita nampak benda sama muncul balik, itu bukan pelik, tetapi memang pattern yang akan berulang kembali, selagi manusia ada sifat jahil dan taksub.
Ciri-ciri ajaran sesat
Jika diamati dan dinilai ajaran sesat, sebenarnya ada red flags yang sangat nyata:
1.Ajaran rahsia dan eksklusif
Kalau sesuatu ajaran hanya diajar dalam kumpulan tertutup, ada ‘level-level’, ada ilmu khas untuk ‘orang terpilih’ maka di situ sudah ada petunjuk jelas bahawa ajaran atau fahaman tersebut tidak benar.
Ini kerana Islam bukan agama underground. Islam itu jelas, terbuka untuk semua peringkat manusia dan lapisan masyarakat.
2. Individu diangkat melampau
Ada tok guru yang dianggap maksum, tidak berbuat salah, boleh mengampunkan dosa pengikut, kononnya dapat terus dengan Tuhan dan Nabi Muhammad SAW, mengetahui alam ghaib dan sebagainya.
Ini sudah lari jauh dari akidah Islam yang sebenar. Dalam Islam, maksum hanya para Nabi dan yang mengetahui alam ghaib, mengampuni dosa hanyalah ALLAH SWT sahaja.
3. Dakwaan wahyu dan ilham direct
Ada yang mengaku dapat wahyu baharu, boleh berhubung terus dengan ALLAH SWT. Ini bukan sekadar salah, bahkan boleh membawa kepada kekufuran.
4. Manipulasi emosi dan spiritual
Mereka pandai bermain dengan emosi menggunakan istilah agama, aura kerohanian, sehingga bila orang mendengarnya terasa ‘wow, ini tahap tinggi!’. Padahal hakikatnya, itu semua packaging untuk menutup penyelewengan.
Sebelum ini, ajaran sesat bergerak secara fizikal sahaja, namun sekarang mereka sudah ada senjata baharu yang disebut sebagai media sosial. Tidak kurang juga masyarakat menamakan sebagai ‘Mata Syaitan’.
Platform digital dijadikan sebagai booster kepada penyebaran fahaman songsang. Tanpa tapisan, tanpa autoriti, sesiapa sahaja boleh bercakap tentang agama walaupun tanpa ilmu.
Ini yang membuatkan situasi hari ini menjadi lagi kritikal. Video pendek boleh jadi ‘fatwa segera’, Influencer boleh jadi ‘Ustaz Ekspres’, algoritma pula membantu penyebarannya tanpa kawalan dan laju.
Akhirnya, orang awam yang kurang ilmu jadi mangsa, terpengaruh sedikit demi sedikit, akidah haru-biru, yang benar dipandang salah, manakala yang salah dianggap benar.
Mengapa ajaran sesat mudah hidup?
Kalau kita kembali kepada realiti mereka yang yang pernah terjebak dengan ajaran sesat, sama ada kembali bertaubat atau tidak, punca utamanya ialah kejahilan, ego dan shortcut mentality.
Ramai orang hari ini nak fast track ke syurga tanpa melalui jalan ilmu yang sebenar. Mereka lebih suka ambil ilmu secara bite-size, tengok video 30 saat, baca caption viral, terus rasa sudah cukup berilmu, ini sangat berbahaya!
Padahal ALLAH SWT sudah ingatkan kita dengan firmanNYA:
“Maka bertanyalah kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiya: 7)
Masalahnya, ramai dalam kalangan masyarakat mengabaikan atau tidak ambil cakna peringatan ini.
Bahkan mereka tidak merujuk ulama, tidak membuat semakan sumber asal perkara, yang penting berkenan di hati.
Akhirnya mereka membuat tafsiran agama dengan akal sendiri dan tanpa sedar, akidah mereka sudah tergadai.
Ajaran sesat zaman sekarang bukan lagi jenis loud and obvious. Mereka bergerak secara stealth mode seperti kelas tertutup, circle kecil, diskusi eksklusif, bahasa yang soft dan spiritual.
Ini lagi bahaya, sebab ia tidak nampak jelas dan masuk perlahan-lahan dalam masyarakat, ibarat racun yang tak berbau, tiba-tiba sudah meresap dalam akidah.
Menjaga akidah ummah, bukan hanya tugas para ustaz, mufti, atau jabatan agama Islam negeri sahaja. Bahkan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh setiap individu Muslim.
Kita semua bertanggungjawab, kalau nampak perkara pelik seperti upacara mencurigakan, ajaran pelik, dakwaan luar biasa, terus melaporkannya kepada pihak berwajib.
Membiarkan atau mendiamkan perkara tersebut terus berlaku dan berlalu adalah merupakan satu dosa.
Rasulullah SAW sudah memberikan kita formula yang sangat ampuh bagi menyelesaikan masalah ini dengan hidup secara berjemaah iaitu saling bantu-membantu dalam kebaikan dan tegur-menegur dalam hal kemungkaran serta jangan berpecah dengan menjauhi perselisihan dan persengketaan.
Kembali kepada asas
Akhirnya, solusi kepada semua kekeliruan ini sebenarnya sangat mudah sekiranya semua kembali kepada al-Quran dan As-Sunnah, faham melalui manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah, berguru dengan ulama dan bukan dengan Google semata-mata.
Kita sama-sama menghidupkan budaya ilmu dalam diri dan ahli keluarga, jangan memberikan ruang kepada kejahilan kerana ia merupakan pintu utama ajaran sesat.
Jika kita tidak mengisi diri dengan ilmu yang sahih, jangan terkejut suatu hari nanti, kita sendiri terperangkap dalam ‘agama versi sendiri’ yang sebenarnya jauh dari kebenaran.
*Artikel ini pengisian khutbah Jumaat bertajuk Mendepani Ajaran Sesat pada 7 November 2025 yang disiarkan di laman sesawang portal rasmi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).