Pengamal perubatan alternatif ditahan disyaki cabul pelanggan wanita

Iklan
Seorang pengamal perubatan alternatif ditahan selepas disyaki mencabul pelanggan wanitanya bulan lalu. Gambar hiasan

SEREMBAN - Seorang pengamal perubatan alternatif ditahan selepas disyaki mencabul pelanggan wanitanya bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, suspek lelaki berusia 60-an ditahan pada 27 Julai di sekitar Senawang di sini.

Iklan
Iklan

"Sehingga kini, polis telah menerima empat laporan berkaitan kes tersebut dan siasatan telah dijalankan dengan merakam percakapan pengadu dan saksi-saksi serta memperoleh bahan bukti yang berkaitan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan.

Iklan

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Sebelum ini, pempengaruh Caprice memuat naik satu video memaparkan perkongsian beberapa mangsa yang mendakwa dicabul oleh pengamal perubatan alternatif berkenaan ketika mendapatkan rawatan.