KUALA LANGAT – Tempat parkir lori di Telok Panglima Garang di sini yang disyaki dijaga individu tertentu membongkar kegiatan penyimpanan dan pengangkutan minuman keras secara haram pada Rabu.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Asisten Komisioner Jaffri Bidin berkata, serbuan kira-kira jam 6.30 petang telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang disyaki menjaga kawasan tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah berkaitan minuman keras yang disimpan di lokasi berkenaan.
"Hasil pemeriksaan di kawasan tersebut mendapati terdapat lima buah lori di parkir, namun hanya dua buah lori didapati mengandungi pelbagai jenis minuman keras di ruang kargo belakang.
"Nilai keseluruhan rampasan yang melibatkan minuman keras disyaki tidak bercukai serta dua buah lori dianggarkan berjumlah RM316,205," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Jelasnya, kesemua barang rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk tindakan lanjut.