KUANTAN – Pengalaman lebih 50 tahun bermain dam mencipta satu kenangan manis buat pesara polis apabila berpeluang berentap dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam permainan tradisional itu.
Muhamad Jaapar Sulong, 78, mengakui gembira apabila dapat bermain secara bersemuka dengan pemimpin nombor satu negeri itu dan lebih manis lagi apabila dia berjaya mencatat kemenangan dalam perlawanan tersebut.
“Memang rasa seronok kalau sebelum ini lawan dengan kawan-kawan sahaja.
"Tapi kali ini pertama kali lawan dengan 'orang besar' dan pasti kenangan ini saya tidak akan lupakan” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Sungai Belat, Kampung Belukar pada petang Rabu.
Bapa kepada sembilan anak ini memberitahu, minat terhadap dam bermula sejak berusia 20-an sekadar mengisi masa lapang.
Ujarnya, permainan itu menjadi antara aktiviti yang sering dilakukan bersama rakan-rakan selain pernah menyertai beberapa pertandingan di sekitar daerah ini.
Menurutnya, kunci permainan dam adalah kebolehan membaca pergerakan lawan sebelum menyusun strategi bagi menyekat langkah mereka.
“Dia tengok perjalanan orang (lawan) jalan (atur strategi) macam mana.
"Bila kita dapat baca ke mana arah dia nak pergi .. lepas itu kita sekat jalan,” ceritanya lagi.
Muhamad Jaapar yang pernah berkhidmat sebagai anggota polis selama 12 tahun di Kuantan turut aktif dalam sukan lain seperti ping pong dan lumba lari sehingga pernah mewakili Malaysia dalam acara berkenaan.
Katanya, selain dam, aktiviti sukan menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya termasuk ketika masih dalam pasukan polis.
"Kini, minat terhadap dam itu turut dikongsi bersama cucu-cucunya menjadi aktiviti mengisi masa lapang pada usia emas," jelasnya.