KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama 87 kilogram syabu di Hatyai berasal dari Sarawak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan dalam perjalanan menaiki kereta api dari Bangkok menuju ke Narathiwat.
Beliau berkata, mereka kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa pemeriksaan kereta api Thailand di Hatyai selepas sejumlah dadah ditemukan di dalam bagasi dan beg galas yang dibawa.
"Pihak polis Thailand dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand telah berkongsi maklumat ringkas butiran tangkapan ini kepada kami.
"Kami mempunyai kerjasama yang sangat baik dan seperti biasa, polis membiarkan pihak berkuasa negara itu menjalankan siasatan mengikut undang-undang mereka,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Waspada terbitan Bernama Radio di sini pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan penemuan dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta itu adalah hasil operasi bersama membabitkan unit pencegahan narkotik Polis Hatyai, polis kereta api, polis pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 Thailand.
Siasatan awal pihak berkuasa negara berkenaan mendapati dadah itu dipercayai untuk dihantar kepada satu sindiket pengedaran di Malaysia.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek ditawarkan upah sebanyak RM8,000 setiap seorang untuk menyeludup bahan terlarang itu ke destinasi yang ditetapkan. - Bernama