Kes dadah juruterbang: JSJN ke Jakarta siasat rangkaian sindiket

Iklan
Hussein. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan pegawai penyiasat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ke Jakarta, Indonesia minggu depan.

Penghantaran pasukan itu bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan rangkaian sindiket yang dipercayai terlibat dalam kes penyeludupan dadah membabitkan seorang juruterbang Malaysia.

Iklan
Iklan

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan itu akan berada di Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos, bagi membantu melengkapkan siasatan, termasuk mengenal pasti sumber bekalan dadah, kaedah penyeludupan serta kemungkinan kaitan suspek dengan sindiket di Indonesia.

Beliau berkata, PDRM akan meneliti dari segi keseluruhan pengedaran dadah ini meliputi sumber bekalan, sindiket yang terlibat, cara dadah itu diperoleh dan cara suspek boleh melepasi tapisan keselamatan di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta kaitannya dengan sindiket di Indonesia.

Iklan

"Siasatan itu penting bagi mengenal pasti keseluruhan rantaian pengedaran termasuk kemungkinan penglibatan pihak lain,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Waspada terbitan Bernama Radio di sini pada Rabu.

Mengulas kedudukan suspek yang kini berdepan proses undang-undang di Indonesia, Hussein berkata, tiada permohonan ekstradisi akan dibuat dan juruterbang tersebut perlu menjalani proses perundangan di negara itu.

Iklan

"Tak ada (ekstradisi)...kita boleh ambil tahu dan pihak Polis Indonesia (POLRI) akan berkongsi perkembangan kes tetapi dia kena melalui proses undang-undang di negara itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang juruterbang berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Menurut POLRI, pemeriksaan menemukan 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan Methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta berdasarkan harga pasaran Indonesia.

Dalam perkembangan berkaitan, Hussein berkata, polis telah merakam keterangan dua anggota Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA dua hari lepas bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini dan polis mendapati kedua-dua petugas terbabit tidak mempunyai kaitan langsung dengan suspek.

Sementara itu, mengenai penahanan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya baru-baru ini, Hussein berkata, polis masih menyiasat kemungkinan wujud kaitan antara kedua-dua kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan terhadap kes di Surabaya agak mencabar, kerana sindiket dipercayai menggunakan maklumat pihak ketiga untuk pendaftaran nombor telefon serta berkomunikasi melalui media sosial bagi menyukarkan pengesanan.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berasal dari Johor ditahan pihak berkuasa Indonesia, selepas dikesan membawa empat bungkusan mengandungi kira-kira satu kilogram syabu serta empat bungkusan berisi lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan pada badannya. - Bernama