PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atas seorang kontraktor yang disabitkan bersalah kerana mengedar 9.6 kilogram dadah jenis methamphetamine.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, secara sebulat suara menolak rayuan See Eng Hooi terhadap sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi.
Noorin semasa membacakan keputusan berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bahawa Eng Hooi mempunyai milikan dan pengetahuan ke atas 9,601.1 gram methamphetamine yang ditemukan di premis tersebut.
Beliau berkata, Eng Hooi merupakan satu-satunya individu yang ditemukan di dalam premis itu, manakala pengawasan polis yang dijalankan sebelum serbuan tidak menunjukkan sebarang pergerakan masuk atau keluar dari hartanah berkenaan.
"Segugus kunci telah ditemukan di dalam poket perayu, termasuk kunci pintu pagar utama premis tersebut dan premis itu juga mengandungi methamphetamine, minyak meth, bahan kimia, asid serta peralatan pemprosesan dadah, manakala DNA perayu ditemukan pada beberapa barangan peribadi dan kegunaan harian yang dirampas dari premis berkenaan,” katanya
Noorin berkata, keterangan ikut keadaan yang kumulatif membuktikan bahawa perayu menjalankan jagaan, kawalan dan pengawasan ke atas premis itu serta mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang ditemui di premis berkenaan.
Beliau berkata, kesalahan mengedar dadah tidak memerlukan pihak pendakwaan untuk membuktikan pemilikan yang sah bagi penyewaan formal premis tersebut dan ketiadaan bukti yang mengenal pasti perayu sebagai penyewa berdaftar tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap milikan dadah olehnya.
"Mahkamah Tinggi adalah tepat dalam menolak dakwaan Eng Hooi bahawa dia berada di premis itu hanya untuk membaiki paip air atas permintaan seorang lelaki yang dikenali sebagai Martin, dengan mendapati bahawa pembelaannya sebagai satu rekaan yang bertujuan untuk menjauhkan dirinya daripada dadah tersebut,” katanya.
Pada 25 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Butterworth mendapati Eng Hooi, 59, bersalah kerana mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapannya pada 23 Januari 2017.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Paya Terubong, Air Itam, Pulau Pinang pada jam 3.20 petang, 23 Januari 2017.
Eng Hooi masih mempunyai satu lagi saluran rayuan iaitu dengan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding Mahkamah Rayuan, Eng Hooi diwakili barisan peguam yang terdiri daripada Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Kee Wei Lon, Siti Summaiyah Ahmad dan Ee Gen You manakala Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai bertindak bagi pihak pendakwaan. - Bernama