SHAH ALAM - Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa terdapat beberapa percanggahan antara pendirian pengurusan Tabung Haji (TH) dan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan isu perubahan akad, status zakat pendeposit serta amaun pembayaran zakat.
Beliau berkata, ketiga-tiga isu membabitkan perubahan akad dari Mudarabah kepada Yadi'ah Yad Dhamanah itu perlu dikupas lebih mendalam berikutan tiada sebarang maklum balas pengurusan TH mengenai perkara tersebut.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, antara percanggahan ketara adalah RCI memberi penekanan mengenai perubahan akad yang tidak maklumkan dan mendapat persetujuan pendeposit supaya sebahagian keuntungan pelaburan digunakan untuk subsidi.
"Dalam laporan itu, kesan perubahan akad juga telah mengubah hubungan TH dengan pendeposit, dari rakan kongsi menjadi peminjam kepada pendeposit dan zakat ke atas pendeposit telah menjadi zakat simpanan sebanyak 2.5 peratus.
"Amaun zakat yang perlu dibayar TH, sekiranya dibayar sebagai zakat simpanan dan bukannya zakat perniagaan seperti amalan TH, adalah lebih besar daripada apa yang dibayar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Lembaga TH dalam kenyataan menegaskan status pembayaran zakat bagi pendeposit tahun-tahun sebelum konsep wakalah diperkenalkan pada 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak.
Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 3 Mei 1979 menetapkan TH ialah institusi yang tidak wajib zakat ke atasnya namun, insitusi itu wajib membayar zakat bagi pihak pendeposit.
Rafizi berkata, kenyataan pengurusan institusi itu berhubung zakat telah dibayar bagi pihak pendeposit tanpa menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam laporan RCI boleh menimbulkan persepsi bahawa pengurusan TH tidak bersetuju dengan penemuan suruhanjaya berkenaan.
Tambahnya, perkara itu wajar diberikan perhatian memandangkan Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain merupakan ahli RCI yang bersetuju dengan penemuan mengenai zakat yang terkandung di dalam laporan itu.
"Saya berharap pihak berwajib terus memberi penjelasan yang boleh menjernihkan perkara-perkara yang ditimbulkan, terutamanya mengenai status bayaran zakat yang ditimbulkan.
"Jangan kita ulangi episod 10 tahun lepas yang menolak mentah-mentah apabila rakyat biasa seperti saya mengutarakan soalan-soalan seperti yang saya tanya sekarang," ujarnya.