SHAH ALAM - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) melaksanakan kawalan dan pemantauan di sekitar Kilometer 274.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman susulan insiden kemalangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh sekumpulan gajah liar pada Selasa.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya telah ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan sekiranya terdapat gajah yang cedera atau sebaliknya.
"Namun, Perhilitan tidak menemui kumpulan gajah itu di sekitar lokasi terbabit.
"Kita akan buat kawalan dan memantau sekiranya dikesan pergerakan kawanan gajah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Ketika ditanya adakah lokasi itu merupakan laluan gajah, Abdul Kadir menjelaskan, ia bukan laluan utama mamalia terbabit.
"Di situ (lokasi kemalangan) bukanlah laluan utama gajah.
"Kumpulan gajah itu dikenal pasti dari Cerul (kawasan di daerah Kemaman). Kita akan siasat punca kumpulan gajah itu melalui kawasan terbabit," ujarnya.
Tambah beliau, pengguna jalan raya dinasihatkan agar usah cemas apabila melihat kumpulan gajah ketika memandu, usah menghampirinya dan tidak melakukan provokasi termasuklah membunyikan hon serta menyalakan lampu tinggi ke arah gajah.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, sepasang suami isteri yang menaiki MPV jenis Toyita Estima ketika perjalanan dari arah Kuantan, Pahang untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Gajah dilaporkan cedera selepas merempuh sekumpulan gajah liar.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli dilaporkan berkata, mangsa lelaki berusia 55 tahun mengalami kecederaan ringan pada tangan kiri manakala isterinya, 52, cedera di tangan kanan.