KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas senator, Datuk Seri Daljit Singh untuk membayar sejumlah RM275,000 kepada Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din kerana memfitnah Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) itu.
Dalam penghakiman yang disampaikan pada 30 Julai lepas, Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan Daljit membayar ganti rugi RM100,000 kepada Mohamad Salim, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau turut memerintahkan Daljit yang juga Bendahari Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), membayar balik pinjaman berjumlah RM100,000 kepada Mohamad Salim, selain membayar kos sebanyak RM75,000 bagi kedua-dua saman berkenaan.
Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Daljit daripada mengulangi kesalahan yang sama terhadap Mohamad Salim pada masa hadapan.
Peguam Harjinder Singh yang mewakili Daljit mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.
Mohamad Salim yang diwakili peguam Dhinesh Bhaskaran, memfailkan saman terhadap Daljit pada Jun 2023, yang mendakwa beliau telah mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah 'Salim menipu saya' kepada peguam Selva Kumar Mookiah dalam bahasa Melayu pada 2021.
Daljit turut menghantar mesej teks mengenai Mohamad Salim kepada Selva pada keesokan hari.
Mohamad Salim juga mendakwa pada April 2023, Daljit sekali lagi mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah, yang dihantar kepada pengarang urusan sebuah portal berita.
Plaintif mendakwa kenyataan Daljit itu memberikan gambaran bahawa beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, penipu, pembohong dan terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral.
Beliau berkata bahawa kenyataan itu telah mencemarkan reputasi dan nama baiknya. - Bernama