Bapa rayu kesan anak gadis hilang, bimbang jadi mangsa scammer

Iklan
Choon Yong menunjukkan gambar anak perempuannya yang gagal dihubungi sejak beberapa bulan lalu.

IPOH - Seorang bapa merayu bantuan orang ramai bagi mengesan anak perempuannya yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan lalu, dipercayai berkemungkinan menjadi mangsa sindiket penipuan.

Mangsa, Lew Tien Ying, 29, kali terakhir ditemui pada Oktober tahun lalu ketika dihantar bapanya ke Terminal Meru Raya untuk ke Singapura bagi bekerja di sebuah syarikat swasta.

Iklan
Iklan

Bapanya, Lew Choon Yong, 62, berkata, sejak itu mereka masih berhubung seperti biasa sebelum keadaan mula berubah pada Februari lalu selepas menerima surat peringatan daripada pihak bank berkaitan tunggakan bayaran kad kredit anaknya.

Menurutnya, situasi itu menimbulkan rasa tidak sedap hati, sekali gus mendorongnya untuk cuba menghubungi anak sulung daripada tiga beradik itu.

Iklan

“Saya mula risau kerana sebelum ini dia ada berkawan dengan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kegiatan scammer. Saya sudah melarang, tetapi dia tidak mengendahkannya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Menglembu di sini pada Rabu.

Kam Foon (kiri) bersama Choon Yong ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat DUN Menglembu pada Rabu.

Choon Yong yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Chemor berkata, selepas itu semua usaha untuk menghubungi anaknya gagal apabila panggilan disekat.

Iklan

Bimbang dengan keselamatan anaknya, beliau membuat laporan polis pada Mac lalu, namun sehingga kini tiada perkembangan baharu diterima.

“Saya bimbang anak saya mungkin menjadi mangsa sindiket penipuan, dikurung atau dipaksa melakukan perkara yang tidak diingini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, hasil semakan keluarga dengan syarikat di Singapura mendapati tiada rekod menunjukkan anaknya bekerja di negara berkenaan.

“Keadaan ini membuatkan saya percaya anak saya mungkin masih berada di dalam negara,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Chaw Kam Foon memaklumkan pihaknya telah membantu keluarga mangsa dengan membuat semakan di Pejabat Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti keberadaan wanita tersebut.

Menurutnya, setakat ini pihak polis belum mempunyai sebarang perkembangan terkini berhubung siasatan kes berkenaan.

“Kita harap hebahan melalui media dan media sosial dapat membantu mengesan mangsa dengan segera,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat kepada Pusat Khidmat DUN Menglembu di talian 05-2810608 atau balai polis berhampiran.