43 barang kemas: Permohonan Rosmah tangguh bayar RM67.5 juta 12 Ogos

Iklan
Rosmah

KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan pembayaran RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas Global Royalty Trading SAL yang berpangkalan di Lubnan berhubung kehilangan 43 barang kemas ditetapkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Ogos.

Pesuruhjaya Kehakiman, Marianne Antoinette Ghani menetapkan tarikh itu selepas peguam, M Reza Rahim yang mewakili Rosmah dan peguam, R Venothani hadir bagi pihak Global Royalty, berhujah dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian menerusi Zoom.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, Marianne berkata, mahkamah cenderung untuk menangguhkan penghakiman dalam perkara tersebut.

“Kita boleh tetapkan tarikh lain dalam masa seminggu," katanya sebelum menetapkan tarikh berkenaan.

Iklan

Pada 10 Jun lalu, Rosmah diperintahkan membayar jutaan ringgit kepada syarikat barang kemas berkenaan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa beliau bertanggungjawab terhadap kehilangan 43 barang kemas yang diterima secara konsainan pada 2018.

Hakim, Datuk Quay Chew Soon berkata, wujud kes prima facie bahawa Rosmah cuai kerana gagal memulangkan barang kemas berkenaan kepada pemiliknya selain tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pemegang amanah untuk memastikan keselamatan barang tersebut.

Iklan

Sehubungan itu, mahkamah membenarkan tuntutan syarikat berpangkalan di Lubnan itu dan mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 bersamaan AS$14.5 juta dalam tempoh sebulan bermula tarikh berkenaan.

Semasa hujahan, Reza berkata, terdapat keadaan khas yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan.

Menurutnya, tiada keperluan untuk jumlah penghakiman dibayar ke akaun pihak berkepentingan.

Beliau berkata, Global Royalty merupakan entiti asing yang berpangkalan di Lubnan, yang tidak disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta Penguatkuasaan Penghakiman Timbal Balik 1958 (REJA).

“Anak guamnya meragui akan memperoleh semula wang itu daripada Global Royalty jika rayuannya kelak, berjaya.

“Syarikat berkenaan selaku plaintif mengendalikan perniagaannya di luar negara maka tiada cara yang mungkin untuk kami menyemak kedudukan kewangan mereka,” katanya.

Sementara itu, Venothani berhujah bahawa Rosmah selaku defendan gagal membuktikan keadaan khas yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan itu.

“Tiada bukti bahawa syarikat itu muflis, tidak dapat membayar balik jumlah penghakiman jika rayuan berjaya.

“Defendan tidak mengemukakan sebarang bukti bahawa plaintif tidak akan dapat atau tidak mahu membayar balik jumlah penghakiman," katanya.

Pada 29 Mac 2023, plaintif memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau memberikan gambaran bahawa semua barang kemas terbabit, termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara, telah dirampas pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan polis manakala baki 43 lagi tidak pernah direkodkan berada dalam jagaan pihak berkuasa.

Global Royalty turut mendakwa Rosmah cuba meletakkan tanggungjawab kehilangan tersebut kepada Kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas berkenaan sebenarnya tidak dapat dikesan.