Kelantan yakin RUU Syariah baharu tidak bercanggah Perlembagaan

Iklan
Mohamed Fadzli (tengah) semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan yakin Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 yang baharu tidak bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan apabila ia akan dibentangkan pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 11 Ogos ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, RUU itu digubal semula susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, RUU berkenaan digubal bagi menggantikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 selepas Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari 2024 dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid & Seorang Lagi lawan Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan 16 peruntukan enakmen tersebut terbatal dan tidak sah kerana berada di luar bidang kuasa DUN.

"Susulan keputusan itu, Kerajaan Kelantan menubuhkan Jawatankuasa Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah sejak pertengahan tahun 2024 bagi meneliti bukan sahaja 16 peruntukan yang dibatalkan, malah membuat kajian menyeluruh terhadap keseluruhan enakmen tersebut.

Iklan

"Jawatankuasa itu dianggotai pakar perundangan sivil dan syariah, ahli akademik, pakar Perlembagaan serta pegawai Kehakiman Syariah bagi memastikan penggubalan baharu mengambil kira sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan," katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Beliau memberitahu, proses penyediaan RUU itu melalui pelbagai peringkat penelitian termasuk pembentangan kepada Jemaah Ulama Kelantan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), menyebabkan proses penggubalannya mengambil masa yang lebih panjang.

Iklan

Mohamed Fadzli menjelaskan, pendekatan penggubalan RUU tersebut dibuat dalam ruang lingkup kuasa DUN berdasarkan Item 1 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan pewujudan dan penghukuman terhadap kesalahan yang menyentuh perintah agama Islam.

Katanya, pendekatan itu juga selari dengan alasan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang mentafsirkan"perintah agama Islam" sebagai kesalahan yang bersifat keagamaan semata-mata melibatkan aspek akidah, kesucian agama Islam serta institusinya dan moral dalam Islam.

Menurut beliau, RUU itu mengandungi sembilan bahagian, 62 seksyen dan satu jadual yang digubal berasaskan prinsip 'pith and substance' dengan memberi penekanan kepada kewajipan agama sebagai inti pati setiap kesalahan.

"Ia turut disusun mengikut kerangka Maqasid Syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, harta dan keturunan.

"RUU ini juga membuktikan bahawa undang-undang syariah mampu berkembang melalui ijtihad perundangan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Ujar beliau, beberapa peruntukan baharu serta ciri pembaharuan turut diperkenalkan menerusi RUU berkenaan, manakala perincian penuh akan dijelaskan ketika pembentangan di sidang DUN nanti.

Mohamed Fadzli berharap RUU itu mendapat sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri serta seluruh rakyat Kelantan dan umat Islam di negara ini demi memartabatkan perundangan syariah.