KLANG – Seramai 147 warga asing yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal melebihi tempoh dibenarkan diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam Ops Mahir di sini pada Isnin.
Operasi yang bermula pada jam 11 pagi itu dijalankan di sebuah premis industri hasil risikan, aduan orang awam serta pemantauan berterusan terhadap lokasi yang dipercayai menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.
JIM Selangor dalam kenyataan memaklumkan seramai 157 individu telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 147 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Selain itu, satu saman saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan," menurut kenyataan itu pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, warga asing yang ditahan terdiri daripada warganegara Myanmar, China dan Bangladesh.
"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di negara ini, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.
JIM Selangor berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), mengesan individu serta majikan yang melanggar undang-undang.
"Orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan demi menjamin keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara," katanya.