DHAKA – Bangladesh dan Myanmar bersetuju mempercepat usaha menghantar pulang pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh dengan memberi keutamaan kepada proses pengesahan identiti serta mewujudkan keadaan yang sesuai bagi memastikan kepulangan mereka dapat dilaksanakan secara selamat, sukarela, mampan dan bermaruah.
Komitmen itu dicapai dalam pertemuan antara Menteri Perdagangan Bangladesh, Khandakar Abdul Muktadir dan Duta Myanmar ke Bangladesh, Kyaw Soe Moe di Kementerian Perdagangan pada Ahad.
Dalam pertemuan itu, wakil Myanmar memaklumkan proses pengesahan senarai pelarian Rohingya yang dikemukakan Bangladesh masih berjalan dan kerajaan Myanmar akan meneruskan proses penghantaran pulang sebaik keadaan keselamatan serta situasi di lapangan mengizinkan.
Bangladesh pula menegaskan kepentingan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan penghantaran pulang dilaksanakan secepat mungkin, selain menggesa kemajuan yang lebih nyata dalam usaha menyelesaikan krisis berlarutan itu.
Selain isu Rohingya, kedua-dua negara turut membincangkan langkah memperkukuh hubungan ekonomi melalui peningkatan perdagangan dua hala, eksport dan import, pelaburan, import gas asli cecair (LNG) serta hubungan perkapalan secara terus.
Muktadir berkata, Bangladesh komited memperkukuh hubungan dengan negara jiran berasaskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan kerjasama ekonomi.
Menurutnya, kedudukan geografi kedua-dua negara memberi potensi besar untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan, manakala segala isu berkaitan perdagangan, pengangkutan, pelaburan serta kesalinghubungan sempadan akan diselaraskan menerusi kerjasama antara kementerian.
Sementara itu, Kyaw Soe Moe berkata, Myanmar berminat meningkatkan perdagangan dua hala dan mencadangkan perdagangan rentas sempadan yang telah lama digantung disambung semula secara berperingkat sekiranya perlu.
Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha meningkatkan perdagangan produk pertanian, perikanan, beras, farmaseutikal dan makanan sejuk beku, selain memperkukuh kerjasama perniagaan dengan perniagaan (B2B).
Bangladesh dan Myanmar juga bersetuju mengadakan dialog institusi serta mesyuarat Jawatankuasa Bersama secara berkala, selain mempercepat pemuktamadan perjanjian laluan perkapalan terus yang dijangka dapat mengurangkan kos logistik dan merangsang perdagangan dua hala. - Agensi