KLANG - Gara-gara tersilap masuk gear dan tertekan pedal minyak, seorang wanita cedera selepas kereta diparkirnya merempuh kedai di Leboh Bangau, Taman Berkeley di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 3.30 petang semasa pemandu wanita itu meletakkan kereta di parkir hadapan kedai tersebut untuk membeli barang.
Menurutnya, selesai membeli barang, pemandu telah memasuki semula ke dalam kereta sebelum tersilap masuk gear hadapan lalu tertekan pedal minyak.
"Kenderaan terbabit telah melanggar kedai menjual kuih dan juga seorang wanita tempatan berusia awal 30-an yang sedang bekerja dalam kedai tersebut.
"Akibat kejadian ini, pemandu kereta mengalami cedera di kepala sebelum dibawa ke Hospital Sunway Medical Centre, manakala pembantu kedai yang mengalami cedera ringan telah dibawa ke Hospital KPJ Klang," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, mana-mana individu atau orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan ini boleh tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Inspektor Kishen Raj di talian 011-26249291.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.