Kes remaja hilang, kenapa berulang?

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung kes remaja hilang.

AKHIR-AKHIR ini, laporan mengenai kehilangan remaja yang tular di media sosial semakin kerap menghiasi ruang berita.

Setiap kali poster kehilangan dimuat naik, ribuan pengguna internet segera berkongsi dengan harapan mangsa dapat ditemui secepat mungkin. Namun, persoalan yang terus berlegar ialah kenapa kes seumpama itu masih berulang?

Iklan
Iklan

Kebimbangan tersebut bukan tanpa asas. Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 4,557 kes kehilangan kanak-kanak termasuk remaja berusia bawah 18 tahun bagi tempoh 2021 hingga 2025.

Jumlah kes menunjukkan trend peningkatan hampir setiap tahun kecuali pada 2023. Statistik itu memberi gambaran isu kehilangan golongan muda masih menjadi cabaran memerlukan perhatian serius semua pihak.

Iklan

Temu bual PDRM bersama media pada 2021 turut mendedahkan tiga punca utama kehilangan ialah mengikut rakan, mahu mencari kebebasan dan mengikut kekasih.

Selain itu, salah faham dengan keluarga, keinginan mencari pekerjaan, hilang minat belajar serta kurang perhatian daripada keluarga turut dikenal pasti sebagai faktor penyumbang.

Iklan

Walaupun setiap kes mempunyai latar belakang berbeza, hakikatnya kehilangan seorang remaja bukan sekadar isu individu tetapi turut mencerminkan cabaran sosial yang sedang dihadapi masyarakat hari ini.

Zaman digital menjadikan komunikasi lebih mudah, namun pada masa sama membuka ruang kepada pelbagai risiko. Remaja kini lebih banyak berinteraksi di alam maya berbanding secara bersemuka dan terdedah kepada individu tidak dikenali.

Situasi itu meningkatkan risiko dieksploitasi, dimanipulasi atau dipujuk meninggalkan rumah tanpa memikirkan kesan terhadap diri sendiri dan keluarga.

Tekanan hidup golongan muda juga tidak boleh dipandang ringan. Tekanan akademik, masalah persahabatan, konflik keluarga, isu percintaan dan gangguan emosi boleh menyebabkan remaja mengambil keputusan terburu-buru melarikan diri tanpa menyedari risiko yang menanti.

Pada masa sama, ibu bapa berdepan cabaran membesarkan anak dalam dunia yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu. Kesibukan bekerja, kekangan masa dan jurang komunikasi kadangkala menyebabkan perubahan tingkah laku anak tidak disedari. Ada remaja yang kelihatan ceria di rumah tetapi sebenarnya menyimpan masalah yang tidak pernah diluahkan.

Justeru, komunikasi terbuka perlu menjadi keutamaan. Anak-anak harus dididik supaya berani berkongsi masalah tanpa takut dihukum. Ibu bapa pula perlu mengetahui rutin harian, rakan dan aktiviti dalam talian mereka sebagai langkah pencegahan.

Kerajaan melalui agensi berkaitan boleh memperhebat kempen keibubapaan yang menumpukan komunikasi berkesan, kesihatan mental dan pemantauan penggunaan media sosial.

Sekolah juga memainkan peranan penting melalui guru dan kaunselor yang peka terhadap perubahan emosi pelajar, selain memperkukuh pendidikan keselamatan digital termasuk risiko pengantunan, penipuan dalam talian dan kepentingan menjaga privasi.

Masyarakat boleh membantu dengan menyalurkan maklumat kepada polis dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana boleh mengganggu siasatan.

Setiap kali poster remaja hilang menjadi tular, ia seharusnya menjadi peringatan keselamatan anak bukan hanya tanggungjawab keluarga, sebaliknya tanggungjawab seluruh masyarakat.

*Azma Mohd Lazim ialah wartawan Lifestyle SinarPlus