Polis siasat beberapa kenderaan disembur cat merah di MRT Kajang

Iklan
Gambar tular memaparkan cermin kereta disembur cat merah.

KAJANG – Polis menyiasat kejadian beberapa kenderaan disembur cat merah ketika diparkir di luar kawasan tempat letak kereta stesen transit aliran massa (MRT) Kajang, dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8.29 malam, Isnin.

Iklan
Iklan

"Laporan dibuat oleh seorang wanita warga tempatan berusia 48 tahun yang bekerja di sektor swasta selepas mendapati cermin kenderaan miliknya disembur cat merah dipercayai akibat perbuatan khianat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Naazron berkata, siasatan awal mendapati pengadu meletakkan kenderaan jenis Perodua Myvi di luar kawasan parkir berkenaan kira-kira jam 6 pagi sebelum menaiki perkhidmatan MRT ke tempat kerja.

Iklan

“Apabila kembali sekitar jam 6 petang, pengadu mendapati terdapat kesan semburan cat berwarna merah pada cermin sebelah kanan kenderaannya,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati beberapa kenderaan lain yang diparkir di kawasan sama mengalami kesan semburan cat merah dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Iklan

"Setakat ini hanya satu laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Norhafdzeli Ismail di talian 010-3755508, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-89114222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya.