KLANG - Hanya kira-kira dua jam hujan lebat, rumah penduduk di Taman Meru 4, di sini sudah dinaiki air menyebabkan harta benda rosak dan musnah, selain penduduk hidup dalam trauma.
Seorang penduduk, Khasinah Samundurkhan, 54, berkata, perasaan risau sering menghantuinya setiap kali hujan lebih-lebih lagi rumahnya terletak kira-kira lima meter dari parit utama yang sering melimpah apabila hujan lebat.
Menurutnya, sepanjang setahun menetap di rumah itu, dia berdepan empat kali kejadian banjir kilat.
"Setiap kali hujan saya jadi takut dan tak senang duduk sebab air naik dengan cepat dan terus masuk ke dalam rumah," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Khasinah memberitahu, kejadian banjir juga menyusahkan penduduk kerana air yang melimpah turut membawa lumpur tebal sehingga kerja membersihkan rumah mengambil masa dua hingga tiga hari.
"Sebelum ini cuma bersihkan air, tetapi kali ini kena cuci lumpur sekali memang saya rasa penat dan sampai sekarang kerja pembersihan masih belum selesai.
"Kejadian banjir juga menyebabkan barangan seperti peti ais, peti sejuk beku, kabinet dan sofa rosak akibat ditenggelami air," ujarnya.
Khasinah berkata, kejadian itu turut menimbulkan kebimbangan menjelang majlis perkahwinan anak sulungnya di Perak pada Disember depan kerana takut meninggalkan rumah dalam keadaan cuaca tidak menentu.
"Saya akui sudah letih berdepan situasi ini, cuma harap ada penyelesaian supaya kami tak lagi hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat," katanya.
Seorang lagi penduduk, Masliah Abdullah, 66, berkata, banjir besar mula melanda kawasan itu pada 2021 sebelum kembali berulang sejak penghujung tahun lalu.
"Setiap kali hujan memang saya dan suami fobia, selain kami sentiasa bersedia pasang penghadang dan angkat peti ais," jelasnya.
Menurutnya, rumah yang terletak berhampiran parit utama menyebabkan air melimpah dengan cepat dari beberapa arah sehingga memasuki kediamannya.
"Dulu kawasan ini tak pernah banjir, sebab itu kami bina rumah biasa saja. Sekarang bila hujan lebat, air cepat sangat naik," ujarnya.
Masliah berkata, pada usianya yang semakin lanjut, kerja membersihkan rumah akibat banjir menjadi semakin membebankan lebih-lebih lagi suaminya kini berusia 71 tahun.
"Anak-anak semua bekerja dan mereka datang sebelah malam untuk bantu tolak air dan cuci rumah, tetapi siang hari saya dengan suami yang uruskan.
"Walaupun air surut dalam tempoh lima atau enam jam, lantai rumah masih terasa melekit akibat lumpur," katanya.
Seorang pekerja swasta, Nor Asikhin Mohd Arif, 40, berkata, penduduk tidak menolak pembangunan yang dijalankan di kawasan berhampiran, namun berharap sistem saliran diberi perhatian supaya penduduk tidak terus menjadi mangsa banjir.
"Kalau pihak pemaju mempunyai perancangan membangunkan kawasan itu, kami pun mahu sistem saliran diperbaiki supaya banjir tak masuk ke kawasan rumah.
"Kami bukan menolak pembangunan, cuma jangan sampai penduduk yang menanggung kesannya," katanya.
Nor Asikhin berkata, kejadian banjir berulang menyebabkan penduduk kini hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan apabila masing-masing akan segera mengalihkan barangan ke tempat lebih tinggi.
"Saya sendiri tengok air naik dengan cepat. Nasib baik setiap kali hujan berhenti air mula surut beransur-ansur," katanya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Meru 4, Ahmad Budi Ismanti, 42, berkata, penduduk berharap pemaju projek berhampiran kawasan perumahan penduduk memberi perhatian terhadap aspek sistem saliran.
"Kita tidak salahkan mana-mana pihak dan tidak menghalang pembangunan, tetapi tolong pastikan sistem saliran mengikut SOP (prosedur operasi standard).
"Kita lihat laluan parit utama yang sepatutnya membawa air keluar tidak berjalan dengan baik, sebaliknya ada lencongan dan laluan air menjadi kecil menyebabkannya tersekat," jelasnya.
Ahmad Budi berkata, kerja mendalamkan parit utama pernah dilakukan, namun mendakwa ia hanya melibatkan sebahagian laluan sehingga menyebabkan persoalan mengenai keberkesanan sistem saliran keseluruhan.
Katanya, masalah turut timbul apabila tanah hasil kerja korekan parit diletakkan di tepi sehingga menyebabkan kawasan keluar masuk penduduk menjadi lebih tinggi dan berisiko.
"Kita harap agensi kerajan berkaitan dan pemaju dapat melihat semula perkara ini supaya masalah banjir tidak terus berulang," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid berkata, isu banjir kilat yang melanda Taman Meru 4 di sini akan ditangani menerusi tindakan pemaju memperbaiki sistem saliran selain pemantauan rapat agensi teknikal berkaitan.
Beliau menjelaskan, kawasan itu sebelum ini bukan lokasi hotspot banjir, namun keadaan berubah sejak kebelakangan ini susulan pembangunan yang sedang berjalan berhampiran kawasan terbabit.
"Kawasan yang biasanya Jalan Paip dan Jalan Hamzah Alang berhampiran masjid, tetapi selepas beberapa pembangunan bermula di sini, penduduk mengaitkan masalah banjir dengan perubahan aliran air akibat kerja-kerja pembangunan," katanya.
Mariam berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama Jurutera Daerah JKR, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak pemaju bagi mengenal pasti punca dan mencari penyelesaian segera.
Menurutnya, tindakan awal akan memberi tumpuan kepada kerja mendalamkan serta menaik taraf sistem saliran di kawasan pembangunan bagi memastikan air tidak melimpah ke kawasan perumahan.
"JPS mengenal pasti antara punca adalah aliran air dari kawasan pembangunan yang masuk ke kawasan perumahan bersebelahan.
"Pemaju akan dipertanggungjawabkan untuk mengambil tindakan jangka pendek, manakala JPS dan JKR akan melihat penyelesaian jangka panjang termasuk penyelenggaraan serta penambahbaikan sistem perparitan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan terdapat isu aliran air di kawasan lebuh raya berhampiran yang menyebabkan air tidak mengalir dengan baik dan berkemungkinan menolak semula aliran air ke kawasan perumahan.
"Kerajaan juga akan membantu penduduk terjejas menerusi saluran bantuan bencana, selain akan berbincang dengan pemaju berhubung kemungkinan pampasan terhadap kerosakan harta benda.
"Selain itu, saya akan berbincang dengan pemaju supaya mereka turut membantu penduduk yang mengalami kerosakan seperti perabot, peti ais, mesin basuh dan barangan rumah lain," katanya.