DALAM mana-mana sistem keadilan jenayah yang berkesan, kebenaran tidak hanya bergantung pada kekuatan bukti atau kecekapan pihak pendakwaan.
Sebaliknya, kejayaan suatu pendakwaan sering bergantung pada keberanian saksi untuk tampil memberikan keterangan secara jujur dan bebas daripada apa-apa bentuk ugutan, tekanan atau ancaman.
Tanpa jaminan perlindungan yang mencukupi, banyak saksi mungkin memilih untuk berdiam diri, sekali gus menjejaskan usaha untuk menegakkan keadilan.
Atas kesedaran inilah, kelulusan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 oleh Dewan Rakyat wajar disambut sebagai suatu langkah reformasi yang signifikan dalam memperkukuh sistem keadilan jenayah negara.
Pindaan ini bukan sekadar mengemas kini peruntukan undang-undang sedia ada, malah mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh institusi perundangan, melindungi hak individu serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Selepas lebih 15 tahun Akta Perlindungan Saksi 2009 [Akta 696] dikuatkuasakan, pelbagai pengalaman dan cabaran praktikal telah dikenal pasti dalam pelaksanaan Program Perlindungan Saksi.
Seiring dengan perkembangan bentuk jenayah yang semakin kompleks, termasuk jenayah terancang, rasuah, pemerdagangan orang dan jenayah rentas sempadan, keperluan untuk memperkukuh perlindungan terhadap saksi menjadi semakin mendesak.
Sehubungan dengan itu, pindaan yang dibawa oleh kerajaan bukanlah bersifat kosmetik, tetapi merupakan penambahbaikan substantif yang mengambil kira realiti pelaksanaan serta keperluan semasa.
Antara pembaharuan paling penting ialah peluasan akses kepada Program Perlindungan Saksi. Melalui pindaan kepada seksyen 7, ibu, bapa atau penjaga kini dibenarkan untuk membuat permohonan bagi pihak seseorang saksi yang tiada keupayaan di sisi undang-undang.
Sebelum ini, kemudahan tersebut hanya diberikan kepada saksi di bawah umur 18 tahun. Pindaan ini mencerminkan pendekatan yang lebih terangkum (inklusif) dan berperikemanusiaan dengan memastikan golongan rentan tidak tercicir daripada perlindungan undang-undang hanya kerana ketidakupayaan mereka untuk bertindak sendiri.
Selain itu, pindaan ini turut memperkenalkan keperluan supaya setiap peserta Program Perlindungan Saksi menandatangani suatu perjanjian bertulis yang memperincikan hak, tanggungjawab, syarat perlindungan dan bantuan yang akan diterima.
Langkah ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, malah memberikan kejelasan kepada semua pihak tentang tanggungjawab masing-masing sepanjang tempoh perlindungan.
Pada masa yang sama, kesinambungan perjanjian yang telah dibuat sebelum pindaan ini juga dikekalkan, sekali gus menjamin kepastian undang-undang dan melindungi hak peserta sedia ada.
Satu lagi pembaharuan yang amat signifikan ialah pengiktirafan terhadap kepentingan kesihatan mental peserta Program Perlindungan Saksi.
Melalui pindaan kepada seksyen 13, bantuan psikologi termasuk perkhidmatan kaunseling kini dimasukkan secara jelas sebagai sebahagian daripada bantuan yang boleh diberikan kepada peserta.
Pendekatan ini memperlihatkan bahawa kerajaan bukan sahaja memberikan perhatian kepada keselamatan fizikal saksi, tetapi juga mengiktiraf bahawa tekanan emosi dan trauma akibat menjadi saksi dalam suatu kes jenayah memerlukan sokongan profesional yang sewajarnya.
Lebih menarik lagi, pindaan ini tidak mengehadkan perlindungan kepada tempoh seseorang berada dalam program semata-mata.
Ketua pengarah kini diberi kuasa untuk meneruskan perlindungan dan bantuan selepas penamatan program sekiranya difikirkan perlu bagi membolehkan peserta menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu secara selamat.
Bantuan tersebut boleh meliputi penempatan semula, bantuan kewangan, bantuan psikologi dan juga bantuan penempatan pekerjaan. Pendekatan ini menunjukkan bahawa perlindungan saksi tidak lagi dilihat sebagai langkah sementara, sebaliknya sebagai suatu proses yang menyeluruh sehingga peserta benar-benar mampu menjalani kehidupan dengan selamat.
Pada masa yang sama, aspek tadbir urus program turut diperkasakan melalui kuasa ketua pengarah untuk mengeluarkan Perintah Tetap berkaitan dengan pentadbiran, latihan, pengurusan dan pelaksanaan Program Perlindungan Saksi.
Peruntukan baharu ini dijangka meningkatkan keseragaman tatacara operasi, memperkukuh profesionalisme pegawai serta memastikan pelaksanaan program menjadi lebih cekap dan sistematik.
Pindaan ini juga memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan dalam meneruskan agenda Reformasi Institusi yang sedang dipacu secara menyeluruh.
Di bawah kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta usaha berterusan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, pelbagai pembaharuan perundangan telah digerakkan bagi memperkukuh kedaulatan undang-undang, meningkatkan ketelusan serta memperkasakan sistem keadilan negara.
Pindaan kepada Akta Perlindungan Saksi merupakan antara contoh terbaik bagaimana reformasi institusi dilaksanakan secara pragmatik, berfasa dan berasaskan keperluan sebenar pelaksanaan undang-undang.
Hakikatnya, keberkesanan suatu sistem keadilan bukan hanya diukur melalui bilangan pendakwaan atau sabitan yang berjaya diperoleh.
Sebaliknya, ia turut diukur melalui sejauh mana saksi berasa yakin bahawa negara mampu melindungi keselamatan, kebajikan dan masa depan mereka.
Apabila saksi mempunyai keyakinan terhadap sistem perlindungan yang disediakan, mereka akan lebih bersedia untuk tampil memberikan keterangan, sekali gus membantu pihak penguat kuasa membanteras jenayah, rasuah dan salah laku yang mengancam kepentingan awam.
Oleh itu, pindaan kepada Akta Perlindungan Saksi 2009 bukan sekadar perubahan kepada beberapa peruntukan undang-undang.
Ia merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk membina sistem keadilan jenayah yang lebih moden, berperikemanusiaan dan diyakini rakyat.
Reformasi ini membuktikan bahawa usaha untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang bukan hanya melalui penggubalan undang-undang baharu, tetapi juga melalui penambahbaikan berterusan terhadap undang-undang sedia ada agar sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat.
Dengan komitmen yang berterusan daripada kerajaan, menteri dan BHEUU, Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk membina sistem keadilan jenayah yang lebih kukuh, berintegriti dan diyakini oleh semua.
*Profesor Dr Ramalinggam Rajamanickam,Fakulti Undang-undang, Multimedia University (MMU)