Penyelidikan klinikal berkembang seiring peningkatan beban penyakit kronik

Iklan
Asha (kiri) dan Dr Raman Shetty menjelaskan tentang ekosistem penyelidikan klinik yang semakin tersusun dan berkembang di negara ini . FOTO: ROSLI TALIB.

KUALA LUMPUR - Malaysia bukan sekadar diiktiraf sebagai penerima inovasi perubatan, malah penyumbang kepada penyelidikan global yang membentuk masa depan penjagaan rawatan bagi penyakit kronik dan penyakit jarang jumpa.

Perkembangan itu berlaku ketika negara terus berdepan peningkatan beban penyakit jangka panjang misalnya diabetes, obesiti, kardiovaskular, buah pinggang kronik, gangguan darah yang jarang berlaku serta masalah sistem endokrin.

Iklan
Iklan

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 melaporkan, seramai 54.4 peratus golongan dewasa di negara ini mengalami obesiti, manakala diabetes (15.6 peratus), hipertensi (29.2 peratus) dan hiperkolesterolemia (33.3 peratus).

Naib Presiden Operasi Percubaan Klinikal Asia, Amerika Latin, Afrika, Timur Tengah dan Pasifik (ALAMP) Novo Nordisk, Dr Raman Shetty berkata, cabarannya di peringkat global juga semakin membimbangkan apabila kira-kira 589 juta individu dewasa hidup dengan diabetes, lebih satu bilion mengalami obesiti, 500 juta menghidap penyakit kardiovaskular manakala buah pinggang kronik menjejaskan ratusan juta orang.

Iklan

Malah, menurut beliau, hampir empat bilion manusia atau kira-kira separuh populasi dunia dijangka mengalami obesiti menjelang 2035.

"Dalam konteks ini, ramai pemimpin dalam bidang penjagaan kesihatan dan penyelidikan klinikal beranggapan bahawa penemuan saintifik semata-mata tidak mencukupi untuk meningkatkan mutu penjagaan pesakit.

Iklan

"Sebaliknya, inovasi perlu melalui proses yang lebih panjang melibatkan penyelidikan klinikal, semakan etika dan kawal selia, kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan, amalan klinikal serta sokongan buat pesakit.

"Justeru, progres ke arah memberi impak bermakna kepada pesakit bermula daripada keperluan perubatan yang masih belum dipenuhi, bukannya penemuan sesuatu molekul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi 'round table' bersama media terpilih di Hilton Kuala Lumpur pada Selasa.

Dr Raman menambah, idea saintifik yang memiliki potensi besar perlu melalui ujian teliti sebelum ia benar-benar memberi manfaat kepada pesakit.

Atas dasar itu, katanya, penyelidikan klinikal mesti dijalankan bagi memperoleh bukti konkrit untuk bergerak ke hadapan secara bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) bukan sekadar kerja yang dilakukan di dalam makmal, tetapi juga usaha mengenal pasti jurang dalam rawatan penyakit, melaksanakan ujian klinikal mengikut keperluan etika dan kawal selia ketat serta memastikan bukti boleh dinilai secara bebas oleh pihak berkuasa kawal selia dan sistem penjagaan kesihatan.

Dr Raman memaklumkan, kelancaran pelaksanaan ujian klinikal juga penting kerana kelewatan yang tidak perlu boleh melambatkan penghasilan bukti diperlukan oleh pihak berkuasa kawal selia, golongan profesional dan sistem penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan elemen kepantasan tidak boleh mengorbankan aspek etika, keselamatan mahupun kualiti data.

“Dalam penyelidikan klinikal, kepantasan bermaksud pelaksanaan yang cekap dan berkualiti tinggi. Ia tidak bermaksud mengambil jalan pintas,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan Clinical Research Malaysia (CRM), Asha Thanabalan berpandangan, ekosistem penyelidikan klinikal Malaysia semakin tersusun apabila negara mampu melahirkan penyelidik berpengalaman, institusi penjagaan kesihatan yang mantap, kepelbagaian populasi pesakit, proses etika serta kawal selia kukuh, sokongan kerajaan dan banyak lagi.

“CRM memainkan peranan penting dalam menyokong penyelidikan klinikal tajaan industri di Malaysia dengan menyelaras kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan, memperkukuh keupayaan tempatan serta membantu meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi ujian klinikal.

"Ia turut membantu membangunkan bakat penyelidikan klinikal tempatan dengan menyokong penyelidik, lokasi penyelidikan dan institusi penjagaan kesihatan yang terlibat dalam kajian klinikal.

"Sebagai badan penyelaras utama bagi penyelidikan tajaan industri di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), CRM menyediakan laluan yang lebih tersusun kepada penaja, organisasi penyelidikan kontrak, penyelidik dan institusi kesihatan untuk bekerjasama dalam ekosistem penyelidikan sektor awam," jelasnya.

Beliau menambah, pemahaman masyarakat juga merupakan elemen penting dalam membina kepercayaan terhadap penyelidikan klinikal.

"Walaupun ramai rakyat Malaysia pernah dengar tentang ujian klinikal, ada juga yang tidak memahami sepenuhnya proses penyertaan, langkah-langkah perlindungan serta bagaimana penyelidikan membantu menyediakan pilihan rawatan pada masa hadapan.

"Bagi menangani perkara tersebut, CRM melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan awam termasuk kempen I’M AWARE yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat terhadap penyelidikan klinikal di Malaysia," kata Asha.

Malaysia menjadi sebahagian daripada perjalanan ujian klinikal Novo Nordisk sejak 1999, sekali gus mencerminkan penglibatan negara dalam penyelidikan klinikal global.

Pada 2024, Malaysia dinaik taraf dan diiktiraf sebagai hab Pusat Pembangunan Klinikal (CDC) yang menyokong aktiviti ujian klinikal termasuk di Thailand dan Singapura.

Pusat itu memainkan peranan serantau dalam menghubungkan pesakit, penyelidik dan lokasi ujian dengan program penyelidikan klinikal global merangkumi bidang terapeutik seperti diabetes, obesiti, penyakit berkaitan kardiovaskular, penyakit buah pinggang kronik, gangguan darah yang jarang berlaku dan gangguan endokrin.

Di Malaysia, Singapura dan Thailand, CDC Malaysia menyumbang kira-kira 40 ujian klinikal yang melibatkan sekitar 300 lokasi ujian serta hampir 1,000 peserta merentasi pelbagai bidang.

Antara 2023 hingga 2025, Novo Nordisk melabur sebanyak RM49.7 juta di Malaysia, SGD1.3 juta di Singapura dan THB327 juta di Thailand menerusi pelaksanaan ujian klinikal.