KUALA LUMPUR – Keputusan semakan kehakiman Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung notis taksiran cukai tambahan RM5 juta yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada 16 November depan.
Hakim, Datuk Azizan Md Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak Mukhriz selaku pemohon sementara LHDN selaku responden dalam prosiding permohonan difailkan anak bekas Perdana Menteri terbabit.
“Mahkamah menetapkan tarikh berkenaan untuk keputusan kes pada jam 9 pagi," kata Hakim.
Pada 2 Januari lalu, Mukhriz berjaya mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi membatalkan tindakan LHDN mengeluarkan notis berkenaan.
Bekas Menteri Besar Kedah berusia 62 tahun itu memohon semakan kehakiman berhubung tindakan LHDN yang mengeluarkan notis berkenaan melibatkan jutaan ringgit terbabit bagi tahun 2017 hingga 2019.
Jumlah yang dipertikaikan membabitkan taksiran tambahan RM2,558,875.90 bagi tahun 2017, RM2,445,004.91 (2018) dan RM16,826.37 (2019).
Semasa prosiding, peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Mukhriz memaklumkan, taksiran tambahan bagi tahun 2019 telah dijelaskan.
Beliau berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa mendengar kes itu kerana cabaran yang dibangkitkan menyentuh kesahan notis taksiran tambahan, bukannya pertikaian terhadap jumlah cukai.
Menurutnya, notis berkenaan tidak sah kerana dikeluarkan selepas tempoh had lima tahun yang diperuntukkan di bawah undang-undang.
Katanya, sekiranya notis dikeluarkan selepas tempoh tersebut, LHDN perlu menyatakan alasan khusus seperti penipuan, keingkaran sengaja atau kecuaian, namun perkara berkenaan tidak dinyatakan dalam notis yang diterima anak bekas Perdana Menteri itu.
“Jika alasan itu dinyatakan sejak awal, kami akan membawa perkara ini ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT)," katanya.
Nizamuddin turut berkata, pihaknya hanya dimaklumkan bahawa lanjutan tempoh diberikan atas alasan kecuaian selepas semakan kehakiman difailkan di mahkamah.
Sementara itu, Peguam Kanan Hasil, Marina Ibrahim yang mewakili LHDN berhujah, notis berkenaan dikeluarkan di luar tempoh asal kerana Mukhriz diberikan lanjutan masa untuk mengemukakan dokumen yang diminta.
Beliau berkata, adalah tidak adil untuk menggunakan lanjutan masa yang diberikan kepada pembayar cukai sebagai alasan mencabar tindakan LHDN.
Menurutnya, SCIT merupakan forum yang lebih sesuai untuk mendengar pertikaian tersebut kerana mempunyai bidang kuasa terhadap isu berkaitan had masa dan fakta percukaian.
Pada 20 Disember 2024, Mukhriz memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan notis berkenaan atas alasan tindakan responden pertama telah menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan untuk menggugurkan Anwar dan Kerajaan sebagai responden dalam semakan kehakiman itu, selepas memutuskan isu yang dibangkitkan hanya melibatkan LHDN.