Polis Pahang lupus 2,485 barang kes dadah bernilai RM433,552

Iklan
Azry Akmar menunjukkan barang kes yang telah selesai proses perundangan di mahkamah dan akan dilupuskan. Foto: SINAR HARIAN

KUANTAN – Sebanyak 2,485 barang kes membabitkan pelbagai jenis dadah dengan nilai anggaran RM433,552.78 akan dilupuskan esok selepas selesai proses perundangan.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, barang kes berkenaan melibatkan rampasan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang bagi tempoh 2009 hingga 2025.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelupusan itu membabitkan 14 jenis dadah termasuk methamphetamine seberat 6,279.08 gram, heroin (1,097.08 gram), kanabis (610.95 gram), ketamin (2.95 gram) dan nimetazepam (60.69 gram).

Turut dilupuskan ialah yaba seberat 128.11 gram, ekstasi (1.01 gram), air ketum (1,960.33 liter), daun ketum (19,771.30 gram), codeine (93.11 liter), diphenhydramine (612.50 liter), etizolam (1.58 gram) dan promethazine (350 gram).

Iklan

“Selain itu, pelupusan turut membabitkan bahan lain seperti dextromethorpan, nitrazepam, ADB-Butinaca, tramadol, nitrazep, MDMB-4en-PINACA dan methyl dengan jumlah 1.58 liter serta 4.40 gram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Selasa.

Iklan

Azry Akmar memberitahu, kesemua barang kes berkenaan dilupuskan selepas mendapat perintah mahkamah berikutan prosiding selesai serta tempoh rayuan bagi hukuman terhadap pesalah kes terbabit telah tamat.

Azry Akmar berkata, pelupusan itu akan dilaksanakan oleh kontraktor bertauliah dan profesional di Bukit Tagar, Bestari Jaya, Selangor, pada jam 12 tengah hari Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata JSJN Pahang merekodkan sebanyak 8,276 tangkapan membabitkan 7,181 kes sepanjang Januari hingga Julai 2026.

Katanya, sebanyak 198 operasi turut dilaksanakan dalam tempoh itu bagi melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negeri.