GOMBAK – Seorang lelaki warga India yang dilaporkan sesat ketika berada di kawasan Air Terjun Kanching di sini ditemukan dalam keadaan selamat pada Isnin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.37 petang.
"Seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang bersama jentera digerakkan ke lokasi yang jaraknya sejauh tujuh kilometer," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ashrul Riezal berkata, setibanya di lokasi, komander operasi dimaklumkan mangsa dipercayai sesat di kawasan air terjun berkenaan dan gagal dihubungi.
"Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan oleh anggota bomba bagi mengesan kedudukan mangsa di kawasan hutan sekitar air terjun," katanya.
Katanya, mangsa akhirnya berjaya ditemukan dalam keadaan selamat pada jam 10.30 malam.
"Anggota bomba membawa turun mangsa ke lokasi yang selamat," katanya.