Pengundi Malaysia semakin matang buat pertimbangan politik - Penganalisis

Iklan
Keputusan PRN Negeri Sembilan 2026 yang melibatkan 36 kerusi DUN bukan sekadar mencerminkan perubahan komposisi kerusi, malah menggambarkan transformasi mendalam terhadap orientasi pengundi. Gambar kecil: Azrie

​KUALA TERENGGANU - Pengundi Malaysia dilihat semakin matang, kritikal dan pragmatik dalam membuat pertimbangan politik dengan memberi keutamaan kepada prestasi pentadbiran berbanding kesetiaan partisan yang bersifat tradisional.

​Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 yang melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di mana ia bukan sekadar mencerminkan perubahan komposisi kerusi, malah menggambarkan transformasi mendalam terhadap orientasi pengundi.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, pandangan pakar sains politik V.O. Key Jr. bahawa pilihan raya merupakan"the voice of the people at a given moment" menjadi amat signifikan dalam memahami keputusan berkenaan.

​Mengulas lanjut, Azrie menjelaskan keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan memperlihatkan Barisan Nasional (BN) muncul sebagai blok terbesar dengan memenangi 18 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.

Iklan

​Katanya, prestasi BN boleh ditafsirkan menerusi Retrospective Voting Theory oleh Morris Fiorina, di mana pengundi menilai berdasarkan prestasi sebenar, pencapaian dasar, kestabilan pentadbiran dan keberkesanan pengurusan ekonomi.

"BN berjaya membina naratif kestabilan politik serta penyelesaian isu tempatan yang praktikal melalui jaringan akar umbi dan pengalaman pentadbiran yang panjang.

Iklan

​"Bagi PH pula, kejayaan memperoleh 11 kerusi DUN dan kehilangan kedudukan dominan menjadi isyarat bahawa legitimasi politik sentiasa tertakluk kepada penilaian semula.

​"Menerusi pendekatan Issue Voting, pengundi cenderung memilih berdasarkan isu harian seperti kos sara hidup dan ekonomi. Naratif reformasi masih penting, namun pengundi kini menuntut hasil dasar yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup secara nyata serta penyampaian maklumat yang lebih meyakinkan," jelas beliau.

​Sementara itu, beliau melihat PN kekal sebagai aktor utama apabila meraih tujuh kerusi, namun masih berdepan kekangan untuk memperluaskan pengaruh di negeri berdemografi rencam.

"​Berdasarkan Median Voter Theorem oleh Anthony Downs, kemenangan bergantung kepada keupayaan menarik pengundi sederhana (median voters).

"Justeru, PN perlu memperkukuhkan tawaran ekonomi yang inklusif dan mesra pengundi pelbagai latar belakang," ujarnya.

​Tambah beliau, keputusan ini turut memberi isyarat penting kepada empat negeri yang ditadbir PN (SG4) iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

​"Mengikut pandangan Joseph Schumpeter, demokrasi memberikan rakyat kuasa untuk 'menghadiahkan' atau 'menghukum' pemerintah. Pengundi kini menilai keberkesanan pentadbiran melalui indikator konkrit seperti pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan kecekapan perkhidmatan awam," katanya.

Menurutnya lagi, ​meskipun sistem First-Past-the-Post (FPTP) menjadikan perpecahan undi faktor signifikan dan dinamika kerjasama antara BN-PN terus diperdebatkan, beliau berpandangan masih terlalu awal untuk merumuskan PRN Negeri Sembilan sebagai gambaran muktamad bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

​Walau bagaimanapun, beliau menyatakan pilihan raya negeri tetap berfungsi sebagai barometer politik yang mengukur tahap penerimaan rakyat.

​"PRN Negeri Sembilan memperlihatkan dua perkara utama: pengundi tidak lagi memilih berdasarkan nostalgia atau kesetiaan partisan semata-mata, dan legitimasi politik moden adalah berasaskan prestasi (performance-based legitimacy).

​"Dalam demokrasi yang semakin matang, mandat rakyat bukanlah hak yang diwarisi secara automatik, sebaliknya amanah yang perlu sentiasa dipelihara melalui prestasi dan kebertanggungjawaban," katanya.