'Fitnah nak jadi MB, Tok Undang antara cabaran terbesar PRN kali ini' - Anthony Loke

Iklan
Menurut Loke, semua dakwaan dan tuduhan itu hanyalah fitnah yang telah mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat Melayu semasa kempen PRN Negeri Sembilan sepanjang dua minggu lalu. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR - Anthony Loke menyifatkan tuduhan kononnya beliau mahu menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tok Undang sebagai serangan peribadi yang melampau serta antara cabaran paling besar pernah dihadapinya sepanjang penglibatan dalam politik.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, semua dakwaan dan tuduhan itu hanyalah fitnah yang telah mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan masyarakat Melayu semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sepanjang dua minggu lalu.

Iklan
Iklan

“Saya berdepan dan menentang segala pembohongan serta tuduhan tersebut. Namun begitu, kami terus bertahan dan berjuang sehingga saat-saat terakhir,” katanya semasa sidang media di sini.

Tambahnya, segala fitnah dan serangan yang dilemparkan terhadap beliau sepanjang kempen merupakan lumrah dalam dunia politik yang perlu dihadapi oleh setiap ahli politik.

Iklan

Namun beliau mengakui masih ada pihak yang mempercayai dakwaan itu walaupun ia pada asalnya hanya dilontarkan sebagai satu sindiran.

Mengulas keputusan itu, Loke berkata, beliau tetap berbangga apabila berjaya meraih 47 peratus undi keseluruhan termasuk kira-kira 20 hingga 25 peratus sokongan pengundi Melayu, meskipun tewas dengan perbezaan hanya beberapa ratus undi.

Iklan

Beliau berkata, kekalahan sekitar tiga peratus itu adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati dan diterima dengan hati terbuka

“Saya menghormati keputusan itu. Tiada sebarang penyesalan kerana telah berjuang hingga ke penghujung. Kalau pun tewas, saya tewas dengan penuh maruah,” katanya.

Meskipun kehilangan kerusi Chennah dan Repah pada PRN kali ini, DAP masih mengekalkan sembilan kerusi DUN di Negeri Sembilan iaitu Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya serta Lukut. - Awani