KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan ekoran kegagalannya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, keputusan tersebut dibuat atas dasar tanggungjawab selain merasakan sudah tiba masanya kepimpinan negeri diserahkan kepada pemimpin lain selepas menerajui DAP Negeri Sembilan selama 22 tahun.
"Ini keputusan peribadi saya dan harapan peribadi saya iaitu saya harus beri jawatan ini kepada orang lain selepas 22 tahun memegang DAP Negeri Sembilan.
"Saya mengambil keputusan ini untuk berundur sebagai pengerusi kerana saya merasakan ada tanggungjawab untuk dipikul susulan kegagalan (DAP) mempertahankan kerusi DUN Chennah dan DUN Repah pada pilihan raya negeri baru-baru ini.
"Walaupun ramai menyatakan sokongan dan kita berjaya memenangi sembilan daripada 11 kerusi yang ditandingi, saya rasa ini adalah masa paling sesuai untuk seorang pengerusi negeri baharu dilantik," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di ibu pejabat parti di sini pada Isnin malam.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi DUN yang ditandingi dan Anthony gagal mempertahankan kerusi DUN Chennah selepas tewas kepada calon MCA, Siow Kong Choon dengan majoriti 688 undi.
DAP turut kehilangan kerusi DUN Repah, apabila S Veerapan tewas tipis kepada calon BN, Koh Kim Swee dengan majoriti 444 undi.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, peletakan jawatannya akan berkuat kuasa selepas mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Menurut Anthony, beliau akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan itu bagi membolehkan ahli jawatankuasa negeri memilih pengerusi baharu mengikut perlembagaan parti.
Katanya, pemilihan semula tidak membabitkan semua ahli parti kerana jawatan pengerusi negeri akan dipilih dalam kalangan Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan sedia ada.
"Saya berasa bangga kerana ketika mula memimpin DAP Negeri Sembilan pada 2004, kita hanya mempunyai dua kerusi.
"Hari ini, selepas 22 tahun, kita mempunyai dua ahli Parlimen dan berjaya mengekalkan sembilan kerusi DUN. Berbanding 2004, DAP Negeri Sembilan jauh lebih kuat dan saya merasakan inilah masa terbaik untuk menyerahkan pucuk pimpinan negeri kepada orang lain," ujarnya.
Beliau berkata, keputusan berkenaan sama sekali bukan disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak, malah ramai pemimpin parti termasuk Penasihat DAP, Lim Guan Eng memintanya terus kekal sebagai pengerusi negeri.
"Tidak ada tekanan daripada mana-mana pihak. Ini adalah keputusan peribadi saya kerana saya merasakan sudah tiba masanya menyerahkan tanggungjawab itu kepada rakan-rakan lain.
"Kita mengamalkan tanggungjawab secara kolektif. Selepas 22 tahun memikul amanah ini, sudah tiba masanya pemimpin lain mengambil alih," tambahnya.
Anthony turut menegaskan beliau tidak akan menentukan penggantinya kerana keputusan itu akan dibuat sepenuhnya oleh Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan.
"Saya tidak ada mana-mana pilihan khusus. Saya tidak akan menentukan siapa pengganti saya. Pengganti saya akan ditentukan oleh ahli-ahli jawatankuasa DAP Negeri Sembilan.
"Kekuatan DAP Negeri Sembilan bukan bergantung kepada seorang individu kerana kita mempunyai ramai pemimpin berpengalaman termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sudah berkhidmat empat penggal, ahli Parlimen serta bekas Exco," katanya.