Calon Bebas Bukit Katil cetus kebimbangan perpecahan undi

Iklan
Kerusi DUN Bukit Katil menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Adly (kiri), Ridzuan (dua, kiri), Dr Aliza (kanan) dan Abu Bakar (dua, kanan). Foto Bernama

MELAKA - Kemunculan calon Bebas yang mempunyai pengaruh dalam kalangan akar umbi UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penyelidik (Governans dan Polisi) Yayasan Strategik Lestari, Dr Mukhtaruddin Musa berkata, situasi itu mengingatkan kepada peristiwa Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 di DUN Batu Burok, Terengganu, apabila calon Bebas berlatar belakang UMNO berjaya menewaskan calon Pas yang bertanding atas tiket BN.

Iklan
Iklan

Mukhtaruddin

Menurutnya, keputusan tersebut membuktikan kesepakatan di peringkat kepimpinan parti tidak semestinya diterjemahkan kepada sokongan menyeluruh dalam kalangan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi.

Iklan

Pada PRU berkenaan, Abdul Muttalib Salleh, calon Bebas yang pernah mewakili UMNO, menewaskan Mohamed Ghazali Ahmad daripada Pas dengan majoriti 145 undi.

Mukhtaruddin berkata, kajian Ilyas Abdullah dan Nurul Saadatun Nadiah Mohd Ngah yang diterbitkan dalam Journal of Administrative Science pada 2023 turut mengaitkan kekalahan BN di Batu Burok dengan penentangan sebahagian penyokong terhadap keputusan meletakkan calon Pas sebagai wakil gabungan.

Iklan

Di DUN Bukit Katil, calon Pas-PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif, 42, berdepan saingan penyandang kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari.

Turut bertanding ialah Dr Aliza Che Amran daripada Bersama dan calon Bebas, Datuk Abu Bakar Sabudin, yang juga Ketua UMNO Cawangan Taman Bukit Katil.

Abu Bakar sebelum ini dilaporkan mengakui masih menjadi ahli UMNO ketika membuat keputusan bertanding selepas hasratnya untuk dipilih sebagai calon BN tidak kesampaian.

Mukhtaruddin berpandangan, latar belakang Abu Bakar yang mempunyai hubungan rapat dengan penduduk setempat hasil penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan berpotensi mempengaruhi corak sokongan pengundi.

Beliau turut merujuk keputusan PRN Melaka 2021 apabila Adly memperoleh 6,805 undi, berbanding calon BN sebanyak 5,748 undi dan PN sebanyak 3,715 undi.

Katanya, jika undi BN dan PN pada pilihan raya tersebut digabungkan secara matematik, jumlahnya mencecah 9,463 undi, iaitu 2,658 undi melebihi jumlah yang diperoleh Adly.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa pemindahan undi atau vote transferability tidak berlaku secara automatik kerana sokongan pengundi turut dipengaruhi faktor calon, hubungan peribadi, isu setempat dan penerimaan terhadap kerjasama politik baharu.

Sehubungan itu, Mukhtaruddin menggesa kepimpinan UMNO di peringkat negeri dan bahagian memberi perhatian terhadap kemungkinan wujudnya ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli serta penyokong yang boleh menjejaskan persefahaman Pas-BN.

Dalam rencananya bertajuk ‘Berbaloikah Pengorbanan Ridzuan Sarif Tinggalkan Kerjaya Demi Amanah Parti dan Harapan Rakyat?’, beliau menegaskan kepimpinan parti perlu memastikan tiada unsur sabotaj dalam kalangan ahli dan penyokong.

“Adalah penting pemimpin UMNO negeri dan bahagian memastikan bahawa tidak ada elemen sabotaj di kalangan ahli dan penyokongnya,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan wujud percaturan politik dalaman, termasuk tanggapan bahawa kekalahan calon Pas boleh membuka ruang kepada UMNO untuk menuntut semula kerusi berkenaan pada pilihan raya akan datang.

Antara langkah yang dicadangkan ialah memperkukuh penjelasan mengenai kerjasama politik, menyelaraskan gerak kerja jentera kedua-dua parti serta menangani secara terbuka sebarang ketidakpuasan hati berkaitan pemilihan calon.

Mukhtaruddin turut mencadangkan supaya Abu Bakar mempertimbangkan untuk menarik diri daripada pertandingan dan menyatakan sokongan kepada Ridzuan bagi menghormati persefahaman politik kedua-dua parti.

Bagaimanapun, Abu Bakar dalam wawancara bersama Sinar Harian sebelum ini menyatakan tidak bercadang menarik diri meskipun terdapat pihak yang memintanya berbuat demikian.

Beliau mempertahankan keputusan bertanding atas alasan mahu terus berkhidmat kepada masyarakat menerusi manifesto sendiri, Suara Rakyat Keutamaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mukhtaruddin turut menyorot beberapa petunjuk kerjasama jentera BN dan PN di Bukit Katil, termasuk kunjungan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, ke bilik gerakan Ridzuan.

Selain itu, beberapa pemimpin dan aktivis UMNO turut disenaraikan sebagai penceramah dalam program kempen calon PN berkenaan.

Antaranya Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Wira Hasnoor Sidang Hussin; Ketua Penerangan Puteri UMNO bahagian itu, Nur Nafishah Safian; serta Ketua Penerangan UMNO DUN Bukit Katil, Abu Hurairah Hashim.

Menurut Mukhtaruddin, perkembangan tersebut menunjukkan wujudnya kerjasama di peringkat organisasi, namun keberkesanannya masih bergantung kepada penerimaan ahli dan penyokong kedua-dua parti terhadap calon yang dipersetujui.

Beliau turut menyifatkan penyertaan Ridzuan sebagai satu pertaruhan besar apabila bekas pegawai kesihatan awam itu sanggup meninggalkan kerjaya tetap selepas hampir dua dekad berkhidmat untuk menyertai pilihan raya.

Katanya, persoalan utama bukan sekadar sama ada pengorbanan Ridzuan akan membuahkan hasil, sebaliknya sejauh mana UMNO dan Pas mampu memastikan kerjasama politik mereka diterima sehingga ke peringkat pengundi.

Pengalaman Batu Burok pada 1974, katanya, wajar dijadikan pengajaran bahawa kesepakatan di peringkat kepimpinan parti sahaja tidak memadai tanpa sokongan akar umbi.