Konflik manusia dan anjing: Adakah sistem yang gagal?

Iklan
Gambar kecil: Profesor Madya Dr Azlan Abas

SEEKOR anjing mati ketika operasi tangkapan oleh pihak berkuasa tempatan.

Video insiden tular di media sosial. Dalam beberapa jam sahaja, ruang maya dipenuhi pelbagai reaksi.

Iklan
Iklan

Ada yang mengecam tindakan pihak berkuasa sebagai zalim terhadap haiwan. Tidak kurang juga yang mempertahankan operasi tersebut atas alasan keselamatan awam.

Di tempat lain pula, penduduk mengadu anak-anak tidak lagi berani berjalan kaki ke sekolah kerana diancam sekumpulan anjing jalanan, manakala penunggang motosikal terus berdepan risiko kemalangan akibat dikejar haiwan berkenaan.

Iklan

Di Sarawak, ancaman rabies pula mengingatkan kita bahawa isu ini bukan sekadar berkaitan kebajikan haiwan, malah melibatkan nyawa manusia.

Keadaan ini menimbulkan satu persoalan penting. Siapa sebenarnya yang sedang berkonflik?

Iklan

Adakah manusia dengan anjing, atau manusia sesama manusia akibat kegagalan sistem mengurus isu ini secara menyeluruh?

Hakikatnya, anjing jalanan bukanlah punca utama konflik. Ia hanyalah simptom kepada kelemahan tadbir urus bandar yang telah lama wujud tetapi kurang diberi perhatian.

Apabila sesuatu isu hanya diurus apabila menjadi tular, kita sebenarnya sedang memadam api, bukannya menghapuskan punca kebakaran.

Anjing jalanan bukan muncul secara kebetulan

Populasi anjing jalanan tidak meningkat tanpa sebab. Ia terbentuk hasil gabungan beberapa kelemahan dalam sistem bandar, antaranya ialah pengurusan sisa pepejal yang tidak cekap sehingga menyediakan sumber makanan yang berterusan, penguatkuasaan yang longgar terhadap pemilik haiwan peliharaan, pembiakan yang tidak terkawal, serta budaya membuang haiwan apabila tidak lagi diingini.

Dalam konteks pengurusan bandar, keadaan ini dikenali sebagai kegagalan sistem.

Selagi punca-punca ini tidak ditangani, operasi tangkapan hanya memberikan penyelesaian sementara. Kekosongan populasi akan diisi semula melalui pembiakan atau penghijrahan dari kawasan berhampiran.

Persoalannya bukan berapa banyak anjing berjaya ditangkap setiap bulan, tetapi mengapa populasi tersebut terus wujud walaupun operasi telah dilakukan selama bertahun-tahun.

Di Malaysia, isu ini lebih kompleks daripada negara lain dan mempunyai realiti sosial yang unik. Persepsi terhadap anjing dipengaruhi oleh agama, budaya dan pengalaman hidup.

Bagi sebahagian masyarakat Islam, anjing sering dikaitkan dengan aspek hukum dan kebersihan, walaupun Islam sendiri mengiktiraf ihsan terhadap semua makhluk.

Sebaliknya, ramai masyarakat bukan Islam melihat anjing sebagai haiwan peliharaan, teman hidup atau sebahagian daripada komuniti setempat.

Perbezaan ini menjadikan seekor anjing jalanan membawa makna yang berbeza kepada setiap kumpulan masyarakat. Bagi seorang ibu yang anaknya pernah digigit anjing, haiwan tersebut ialah ancaman keselamatan.

Bagi seorang sukarelawan kebajikan haiwan, ia ialah mangsa pengabaian manusia. Kedua-dua perspektif ini mempunyai asas yang sah. Masalah timbul apabila kedua-duanya bertembung tanpa ruang dialog yang membina.

Konflik sebenar ialah manusia dengan manusia

Di sinilah letaknya konflik yang jarang dibincangkan. Apabila berlaku insiden melibatkan anjing jalanan, masyarakat biasanya berpecah kepada dua kelompok besar.

Kelompok pertama mendesak tindakan segera demi keselamatan awam.

Mereka mahukan operasi tangkapan dipercepatkan kerana bimbang berlaku serangan, kemalangan jalan raya atau penularan rabies.

Kelompok kedua pula menuntut supaya setiap tindakan mematuhi prinsip kebajikan haiwan.

Mereka mempertikaikan penggunaan kaedah yang dianggap kejam dan menggesa pelaksanaan Program Tangkap, Mandulkan, Vaksin dan Lepaskan Semula (TNVR).

Ironinya, kedua-dua kumpulan sebenarnya mempunyai tujuan yang baik. Satu mahu melindungi manusia, satu lagi mahu melindungi haiwan.

Namun tanpa mekanisme dialog dan penyelarasan yang berkesan, perbezaan keutamaan ini akhirnya berubah menjadi konflik sosial.

Lebih malang, PBT sering menjadi pihak yang tersepit. Jika bertindak tegas, mereka dikritik oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jika tidak bertindak, mereka dipersalahkan oleh penduduk. Apa sahaja keputusan yang dibuat akan mengundang kritikan kerana sistem itu sendiri tidak menyediakan penyelesaian yang menyeluruh.

Mengapa pengurusan bersama masih belum berjaya?

Konsep pengurusan bersama atau co-management sering diketengahkan sebagai penyelesaian yang ideal.

Di atas kertas, PBT, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan institusi akademik perlu bekerjasama. Namun dalam realiti, kerjasama ini masih belum mencapai potensi sebenar.

Bukan kerana mana-mana pihak tidak komited, tetapi kerana setiap organisasi bergerak dengan mandat, petunjuk prestasi utama (KPI) dan kekangan yang berbeza. PBT diukur melalui bilangan aduan yang berjaya diselesaikan.

NGO pula menilai kejayaan berdasarkan pengurangan penderitaan haiwan.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi keutamaan kepada kawalan penyakit.

Penduduk pula hanya mahu persekitaran yang selamat. Apabila semua pihak mengejar matlamat yang berbeza, kerjasama menjadi sukar dibentuk.

Tambahan pula, kebanyakan bentuk kerjasama hanya berlaku selepas sesuatu insiden menjadi tular.

Malaysia masih belum mempunyai sebuah Majlis Pengurusan Haiwan Jalanan di peringkat PBT atau negeri yang bertemu secara berkala untuk berkongsi data, menyelaras tindakan dan menilai keberkesanan program.

Tanpa platform tetap, pengurusan bersama mudah menjadi slogan yang hanya dihidupkan ketika krisis.

Apa yang Malaysia perlukan?

Dalam jangka pendek, kawasan tumpuan berisiko tinggi perlu dikenal pasti menggunakan data dan pemetaan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

Operasi hendaklah memfokuskan kepada anjing yang agresif atau berisiko tinggi, di samping memperluaskan vaksinasi rabies, memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian haiwan dan meningkatkan komunikasi risiko kepada masyarakat.

Namun penyelesaian jangka panjang jauh lebih penting.

Malaysia memerlukan Dasar Nasional Pengurusan Haiwan Jalanan yang menyelaras semua PBT, mewajibkan pendaftaran dan pemasangan mikrocip haiwan peliharaan, memperkukuh penguatkuasaan terhadap pemilik yang membuang haiwan, memperbaiki sistem pengurusan sisa pepejal dan menyediakan dana khusus bagi menyokong program TNVR.

Lebih penting daripada itu, setiap PBT perlu menubuhkan platform pengurusan bersama yang benar-benar berfungsi, melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kesihatan Malaysia, universiti, pemimpin masyarakat dan wakil pelbagai komuniti.

Perbincangan tidak boleh hanya berlaku selepas krisis, tetapi perlu menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan yang berterusan.

Sudah tiba masanya kita berhenti melihat isu ini sebagai pilihan antara keselamatan manusia atau kebajikan haiwan.

Kedua-duanya bukan matlamat yang saling bertentangan.

Konflik sebenar bukanlah antara manusia dan anjing, tetapi antara manusia dengan manusia yang membawa nilai, pengalaman dan keutamaan yang berbeza.

Anjing jalanan hanyalah titik temu kepada pelbagai kelemahan dalam sistem pengurusan bandar.

Jika kita terus memberi tumpuan kepada anjing semata-mata, kita akan terus mengulangi kitaran yang sama, insiden berlaku, kemarahan memuncak, operasi dijalankan, isu reda, kemudian berulang semula.

* Profesor Madya Dr Azlan Abas ialah Pensyarah Pengurusan Persekitaran di Universiti Kebangsaan Malaysia