BINTULU – Anjung Kasih Hospital Bintulu mencipta sejarah sebagai kemudahan pertama seumpama itu di Malaysia yang menggunakan sistem pengurusan dan pendaftaran digital bagi memudahkan urusan penginapan waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Kemudahan berkenaan yang dibangunkan hasil sumbangan RM1.9 juta daripada Bintulu Port Holdings Berhad melalui Yayasan Bintulu Port sekali gus menjadi Anjung Kasih pertama di Sarawak yang ditaja sepenuhnya oleh syarikat korporat.
Penggunaan Anjung Kasih Management System itu dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam mempertingkat kecekapan pengurusan penginapan serta penyampaian perkhidmatan kebajikan kepada rakyat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan Anjung Kasih Management System itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Syabas atas inisiatif ini. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam memperkasa pendigitalan penyampaian perkhidmatan demi manfaat rakyat," katanya ketika berucap merasmikan Anjung Kasih Hospital Bintulu di sini pada Isnin.
Ia menjadi Anjung Kasih ke-20 di Malaysia yang menyediakan kemudahan penginapan sementara secara percuma kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital bagi meringankan beban mereka.
Kemudahan tersebut direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Hospital Bintulu serta Bintulu Port Holdings Berhad melalui Yayasan Bintulu Port.
Anjung Kasih Hospital Bintulu menyediakan 25 bilik penginapan, termasuk sebuah bilik mesra orang kurang upaya (OKU), dengan kapasiti sehingga 75 penghuni pada satu-satu masa.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penubuhan Anjung Kasih Hospital Bintulu memperluaskan lagi kemudahan penginapan sementara kepada waris pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.
Beliau berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2006 sehingga Jun 2026, seramai 132,535 waris pesakit telah mendapat manfaat daripada kemudahan Anjung Kasih di seluruh negara.
Menurut beliau, KPWKM sentiasa komited memperkukuh agenda kebajikan negara melalui pelbagai dasar, program dan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar.
"Saya ingin mengajak lebih ramai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta, yayasan korporat dan organisasi yang berkeupayaan untuk bersama-sama YKN memperluaskan inisiatif kebajikan seperti Anjung Kasih.
“Saya percaya, semakin ramai yang berganding bahu, semakin ramai yang memerlukan dapat dibantu, selaras dengan semangat Whole of Society yang menekankan tanggungjawab bersama demi kesejahteraan masyarakat," ujarnya.