Dewan Negara lulus pindaan Akta MCMC, ahli politik tidak boleh jadi pengerusi

Iklan
Nie Ching pada sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, Sidang Dewan Negara di Bangunan Parlimen, pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 yang bertujuan meningkatkan peranan, fungsi, tadbir urus dan operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain memperkasa fungsi kawal selia industri komunikasi negara.

RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 11 Ahli Dewan Negara.

Iklan
Iklan

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, ketika menggulung perbahasan berkata, MCMC merekodkan penurunan lebih 222,000 kandungan berkaitan perjudian dalam talian dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus menunjukkan peningkatan tindakan penguatkuasaan digital yang lebih agresif.

Beliau berkata, jumlah kandungan yang diturunkan oleh pengendali platform media sosial meningkat secara ketara daripada hanya dua kandungan pada 2022 kepada 18,814 kandungan pada 2023, 189,484 kandungan pada 2024 dan 289,486 kandungan pada 2025.

Iklan

"Setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 222,257 kandungan berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan.

"Tindakan penurunan itu dibuat atas permintaan MCMC dan juga oleh penyedia perkhidmatan. Dalam tempoh 2022 hingga 31 Julai tahun ini juga, sebanyak 6,982 laman sesawang perjudian telah disekat," katanya.

Iklan

Nie Ching berkata, kegiatan perjudian secara amnya terletak di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala MCMC berperanan memberikan bantuan teknikal, analisis forensik digital serta menyekat akses berdasarkan permintaan rasmi agensi penguat kuasa.

Mengenai pemerkasaan tadbir urus dan kebebasan MCMC, beliau berkata, pindaan RUU itu melarang ahli politik dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya berkenaan.

"Pengerusi tidak boleh terdiri daripada anggota badan perundangan. Ahli Parlimen tidak boleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh. Pindaan yang dibawa ini adalah bagi memastikan kuasa menteri dalam membuat pelantikan dihadkan supaya individu yang dilantik benar-benar berkelayakan," katanya.

Terdahulu, ketika membahaskan RUU itu, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan pindaan berkenaan penting memandangkan sektor komunikasi dan multimedia kini bukan lagi sekadar sektor ekonomi, malah telah menjadi infrastruktur strategik negara.

"Kejayaan pindaan ini tidak hanya bergantung kepada kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang, tetapi juga kepada keupayaan MCMC melaksanakan fungsi tersebut secara profesional, telus dan berkesan demi melindungi kepentingan rakyat," katanya.

Senator Muhammad Hasbie Muda pula berpendapat aspek kepakaran dan merit perlu diberi perhatian serius dalam proses pelantikan anggota suruhanjaya itu.

"Reformasi bukan sekadar memberikan lebih banyak fungsi dan kuasa kepada MCMC, malah mesti memastikan setiap kuasa itu dilaksanakan secara telus, berkesan dan boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat," katanya.

RUU yang diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lepas itu mengandungi 17 fasal yang antara lain meminda Seksyen 16 Akta 589 bagi memperjelas fungsi MCMC dalam membangun serta mengawal selia piawaian infrastruktur dan platform digital. - Bernama