1MDB alami kerugian AS$5.64 bilion, Najib didakwa dalang penipuan - Peguam 1MDB

Iklan
Datuk Seri Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan empat anak syarikatnya akan membuktikan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah dalang di sebalik penipuan membabitkan 1MDB.

Semasa membacakan pernyataan pembukaan pihak plaintif, peguam Datuk Lim Chee Wee berkata, mereka akan membuktikan bahawa Najib mempunyai kawalan dan pengaruh yang amat besar terhadap pengurusan 1MDB.

Iklan
Iklan

"Najib menggunakan kedudukan tertingginya, kuasa serta pengaruh sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pengawal Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan pemegang saham tunggal 1MDB untuk melakukan tindakan serta mempengaruhi Lembaga Pengarah 1MDB supaya melaksanakan transaksi luar biasa secara tergesa-gesa demi memperkayakan diri sendiri, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, anak tiri Riza Aziz serta proksinya, Jho Low (Low Taek Jho) berserta keluarga ahli perniagaan dalam buruan itu.

"Akibat penyelewengan yang dilakukan, plaintif mengalami kerugian berjumlah AS$5,644,525,051," katanya pada hari pertama perbicaraan kes saman 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib serta tujuh lagi pada Mei 2021.

Iklan

Prosiding itu berlangsung di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Chee Wee berhujah bahawa kedudukan Najib sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dari 2009 hingga 31 Mei 2016 memberikan beliau kawalan yang berkesan terhadap pengarah serta pengurusan syarikat itu.

Iklan

Beliau juga berkata, berdasarkan pelbagai jawatan yang dipegangnya, Najib adalah"pengarah bayangan” sepertimana takrifan di bawah Akta Syarikat 1965.

Menyifatkan kes itu sebagai"satu pengkhianatan terhadap kepercayaan awam”, Chee Wee berkata, plaintif akan membuktikan bahawa Najib telah melanggar amanah yang diberikan kepada beliau sebagai pemimpin negara.

"Kes ini adalah berkisar tentang pengkhianatan… pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, pengkhianatan kepada ‘rakyat’ yang telah memberikan kepercayaan mereka dan mengangkat seorang warganegara ke puncak kepimpinan negara, dan pengkhianatan oleh individu itu sendiri terhadap kepentingan negara,” katanya sebelum memanggil saksi pertama plaintif untuk memberi keterangan.

Saksi pertama yang memberi keterangan pada perbicaraan hari ini ialah Richard Templeman, iaitu Pengarah Siasatan Kroll Advisory Ltd yang berpangkalan di United Kingdom.

1MDB dan anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Hen; bekas peguam, Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Beng Huat Koh; bekas Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad; bekas Pengarah Pelaburan, Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Kesemua plaintif, antara lain mendakwa bahawa defendan telah melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa serta bersekongkol dan menyeleweng dana 1MDB.

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.4 bilion terhadap Najib, 73, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.3 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB. - Bernama