Bantuan McDonald’s beri sinar kepada asnaf, pelajar UMK

Iklan
Ahmad Shihafuddin (kiri), menyerahkan cek cura zakat bernilai RM100,000 kepada Mohd Anis (kanan), sempena Majlis Penyerahan Zakat McDonald’s Kelantan di McDonald’s Pandu Lalu Pengkalan Chepa.

Ahmad Shihafuddin (tiga dari kiri) dan Mohd Anis (empat dari kiri) bersama penerima Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian sumbangan McDonald’s Malaysia.

“Terima kasih McDonald’s.... Kotak Rezeki ini dapat dikongsi dengan keluarga.” Demikian kata-kata Aziz Ludin, 60, dari Kampung Baung di sini yang merupakan antara 100 penerima Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian disumbangkan oleh McDonald’s Malaysia (McDonald’s).

Iklan
Iklan

Seramai 80 menerima sumbangan tersebut pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat McDonald’s Kelantan dan Sumbangan Kepada Asnaf yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Pengkalan Chepa, Kelantan. Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyampaikan sumbangan komputer riba bernilai lebih RM50,000 kepada 15 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang kurang berkemampuan menerusi wakalah zakat syarikat sebagai usaha menyokong kecemerlangan pendidikan golongan muda.

AZIZ

Iklan

Menurut Aziz, dia kini menumpang di rumah adik iparnya yang merupakan ibu tunggal dan mempunyai lima orang anak.

“Saya sudah tidak bekerja kerana faktor usia. Sekarang saya hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600. Sumbangan ini sangat berharga buat saya dan bantuan yang diberikan boleh dijadikan bahan masakan kami,” katanya.

Iklan

NORMA

Bagi Norma Yusoff, 63, dari Kompleks Pernama, berkata, sumbangan daripada McDonald’s dapat meringankan beban mereka sekeluarga. Ujarnya, dia yang tidak bekerja kerana mengalami masalah kesihatan pada paru-paru hanya bergantung kepada pendapatan adiknya sebagai pembantu kedai. “Wang yang ada boleh digunakan untuk membeli barang basah kerana keperluan dapur sudah disediakan oleh McDonald’s.

“Alhamdulillah, biasanya saya dan keluarga menerima sumbangan sebegini ketika Ramadan sahaja, tidak sangka kali ini ada rezeki daripada McDonald’s,” katanya.

Norma kini tinggal bersama ibunya, Masalmah Ibrahim, 83 serta adik perempuannya berusia 57 tahun.

Impian miliki komputer riba akhirnya jadi kenyataan

MUHAMMAD KHAIRUL AMIR

Sementara itu, penerima sumbangan komputer riba, Muhammad Khairul Amir Zahari, 21, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semester dua memberitahu, dia rasa bagaikan mimpi apabila dipilih sebagai salah seorang penerima.

Muhammad Khairul Amir yang berasal dari Rantau Panjang memaklumkan dia sudah lama mengidamkan sebuah komputer riba, namun kerana masalah kewangan hasrat itu terpaksa dipendamkan.

“Saya terpaksa meminjam komputer riba milik rakan untuk sementara waktu setiap kali ingin menyiapkan tugasan di universiti.

“Saya sudah merancang untuk bekerja di gerai burger pada cuti semester bulan September ini untuk mengumpul duit membeli komputer riba kerana sukar untuk belajar apabila tiada kemudahan ini, saya agak malu untuk meminjamnya selalu.

“Saya tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membelinya sendiri,” katanya.

Muhammad Khairul Amir merupakan anak yatim dan hanya bergantung kepada pendapatan ibunya, Che Azila Che Aziz, 51, sebagai pelukis batik.

Anak ketiga daripada empat beradik itu memberitahu, dengan adanya sumbangan komputer riba daripada McDonald’s, ia memberikan semangat untuk belajar serta memberikan motivasi mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan nanti.

NOR ALEEYA SHAFIRA

Begitu juga bagi Nor Aleeya Shafira Md Zawawi, 22, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif UMK semester empat itu berkata, komputer riba yang dibeli dengan harga murah telah rosak sehingga menyukarkannya menyiapkan tugasan.

“Saya sedang kumpulkan duit sekitar RM3,000 dengan berjimat cermat namun siapa sangka rezeki tidak dijangka apabila terpilih untuk menerima sumbangan komputer riba daripada McDonald’s.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya saya tidak perlu menyusahkan ibu yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai,” katanya yang berasal dari Pasir Mas dan merupakan anak yatim setelah kematian bapanya ketika diusia 17 tahun.

Bantuan penuh makna buat insan memerlukan

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan NOR ALEEYA SHAFIRA McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, komitmen McDonald’s Malaysia dalam memperkasa kebajikan masyarakat terus dizahirkan apabila syarikat itu menunaikan zakat korporat berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),di samping menyampaikan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan asnaf, pelajar serta komuniti setempat.

Menurut beliau, tanggungjawab syarikat tidak terhenti sekadar menunaikan zakat, sebaliknya diteruskan menerusi pelaksanaan wakalah zakat yang membolehkan bantuan disalurkan secara lebih dekat dan bersasar mengikut keperluan komuniti.

“Sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam, pembayaran zakat merupakan amanah yang kami tunaikan setiap tahun.

“Menerusi wakalah zakat, kami berpeluang menyalurkan bantuan secara lebih dekat kepada komuniti berdasarkan keperluan mereka, sama ada dalam bentuk makanan, keperluan harian mahupun sokongan kepada golongan muda,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam majlis itu, Pengarah Pematuhan dan Kerjasama Institusi McDonald’s Malaysia, Ahmad Shihafuddin Mustapha telah menyerahkan cek cura zakat kepada Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein.

Ahmad Shihafuddin (kiri), menyerahkan cek cura zakat bernilai RM100,000 kepada Mohd Anis (kanan), sempena Majlis Penyerahan Zakat McDonald’s Kelantan di McDonald’s Pandu Lalu Pengkalan Chepa.

Bagi berkongsi kegembiraan bersama masyarakat, syarikat itu turut menyediakan 2,000 hidangan percuma kepada orang ramai di tiga restorannya iaitu McDonald’s Pengkalan Chepa, McDonald’s Kok Lanas dan McDonald’s Kuala Krai.

Azmir menyatakan, inisiatif itu juga menjadi medium untuk berkongsi rezeki serta menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa menyokong McDonald’s Malaysia. Tambahnya, semenjak menjadi syarikat milik penuh orang Islam pada tahun 2017, McDonald’s Malaysia telah menyalurkan lebih RM14 juta zakat kepada pusat-pusat zakat negeri di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, lebih RM1 juta telah disalurkan kepada negeri Kelantan sehingga tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memperkukuh agenda kebajikan dan pembangunan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Anis menyifatkan komitmen McDonald’s Malaysia sebagai satu contoh kerjasama strategik sektor korporat yang memberi impak besar kepada pembangunan ummah.

“Kami menghargai komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan zakat. Pendekatan melalui wakalah zakat membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dalam aspek kebajikan, makanan dan pendidikan, sekali gus melengkapi usaha MAIK untuk memperluas manfaat zakat kepada komuniti di Kelantan,” katanya.

Selain pembayaran zakat korporat, McDonald’s Malaysia dengan kerjasama MAIK turut menyampaikan sumbangan wakalah dalam bentuk wang serta 20 Kotak Rezeki kepada keluarga asnaf di sekitar Kota Bharu sebagai bantuan segera bagi meringankan beban mereka.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan McDonald’s Malaysia sebagai jiran prihatin kepada komuniti di sekitar lebih 370 restorannya di seluruh negara dan melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan.

Kelantan menjadi negeri pertama bagi pelaksanaan inisiatif pembayaran zakat korporat McDonald’s Malaysia bagi tahun 2026 sebelum program sama diteruskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.